TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JPN gesa henti sebar video lama upacara perkahwinan bukan Islam babit Saifuddin

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 17 OKTOBER - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggesa orang ramai menghentikan penyebaran naratif mengelirukan melalui penyebaran semula klip video lama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan upacara perkahwinan sivil pasangan bukan Islam.

Menurut JPN, tindakan mengitar semula rakaman lama tanpa menjelaskan konteks sebenar, apatah lagi sehingga menimbulkan persepsi yang mengelirukan, merupakan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“JPN memandang serius tindakan menularkan semula klip video itu, sedangkan perkara tersebut telah dijelaskan secara rasmi sejak 25 Oktober 2023.

"JPN ingin menegaskan bahawa video berkenaan bukan kejadian baharu, sebaliknya merupakan sebahagian pengisian Majlis Sambutan Jubli Intan JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023,” menurut JPN melalui kenyataan di Facebook.

Mengulas lanjut, JPN memaklumkan pihaknya adalah jabatan yang dipertanggungjawabkan melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil pasangan bukan Islam berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].

Penglibatan Menteri Dalam negeri dalam pengupacaraan perkahwinan sivil tersebut adalah sebahagian daripada pengisian majlis rasmi JPN pada 2023 dan perlu dilihat dalam konteks pelaksanaan fungsi serta tanggungjawab jabatan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

JPN turut berkongsi pandangan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) berkaitan aspek hukum syarak yang relevan sebagai rujukan masyarakat agar perkara ini dinilai berdasarkan fakta dan penjelasan pihak berautoriti, bukannya andaian atau tafsiran yang mengelirukan.

“Perbezaan pandangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyebarkan maklumat di luar konteks sehingga mencetuskan polemik yang tidak berasas.

“Orang ramai, khususnya pengguna media sosial digesa lebih bertanggungjawab dalam menyemak kesahihan, tarikh dan konteks sesuatu rakaman sebelum menyebarkannya.

“Hentikan tindakan mengitar semula isu lama dengan naratif yang mengelirukan. Hormati fakta, rujuk penjelasan rasmi dan jangan jadikan media sosial medan mencetuskan salah faham dalam masyarakat,” menurut JPN.

+ - reset