Berita Berita
Kerajaan rancang hukuman lebih berat terhadap penjenayah curi kabel
GEORGE TOWN 17 OKTOBER - Kerajaan sedang merangka pindaan undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pencuri kabel susulan kejadian berulang yang mengganggu operasi dan mengancam keselamatan sistem rel negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cadangan itu kini pada peringkat perbincangan dasar, dengan kementeriannya bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merangka pindaan berkenaan.
“Memang dalam perancangan. Kita sedang merangka pindaan undang-undang dan bekerjasama dengan pihak KDN juga untuk meminda undang-undang bagi memperketat hukuman.
“Dari segi hukuman penjara, butirannya belum kita muktamadkan. Sekarang ini masih dalam perbincangan dasar untuk kita meningkatkan hukuman penjara dan denda,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Bas Elektrik Rapid Penang di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan mempertimbangkan pindaan undang-undang sedia ada bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap pencuri kabel susulan kejadian terbaharu di Laluan Transit Aliran Massa (MRT) Kajang, di ibu negara, semalam.
Mengulas lanjut, Loke berkata, kecurian kabel adalah masalah serius yang dihadapi semua pengendali rel, termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Malah, katanya, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang belum beroperasi juga pernah berdepan kejadian kecurian kabel.
“Pencuri kabel ini perlu dikenakan hukuman yang lebih berat untuk memberikan satu mesej bahawa ini bukan kecurian biasa. Apabila berlaku kecurian kabel, kejadian itu membabitkan keselamatan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, pengendali rel perlu mempertingkatkan langkah pencegahan sementara kerajaan menghalusi pindaan undang-undang berkenaan.
Antara langkah yang boleh dilaksanakan termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik serta menempatkan lebih ramai anggota polis bantuan bagi memastikan kawasan larangan tidak diceroboh pencuri kabel.
Dalam kejadian pagi semalam, perkhidmatan MRT Laluan Kajang mengalami kelewatan susulan cubaan mencuri kabel dan pencerobohan di landasan.
Rapid KL memaklumkan kelewatan itu membabitkan laluan antara Stesen Phileo Damansara dengan Stesen Pusat Bandar Damansara.
Berita berkaitan
October 18, 2026, 4:39 pm
Kerajaan percepat usaha sijil kematian rakyat Malaysia hilang di Nepal
October 18, 2026, 4:30 pm
Poster dakwaan caj perkhidmatan QR mulai 1 November palsu - MOF
October 18, 2026, 4:22 pm
Rakyat Malaysia dinasihat tangguh perjalanan tak penting ke Perancis
October 18, 2026, 12:12 pm
Anwar ucap tahniah persembahan konsert istimewa Siti Nurhaliza
October 18, 2026, 12:08 pm
Hujan lebat sejak semalam, 26 mangsa dipindahkan ke dua PPS
October 18, 2026, 11:52 am
Mangsa banjir terus meningkat di Perak, Pulau Pinang
October 18, 2026, 11:46 am
Allahyarham Norhazwani rajin, kerap kerja lebih masa - AKPS
October 17, 2026, 6:41 pm
Imigresen KL siasat dakwaan penyelewengan pengeluaran pas khas
October 17, 2026, 2:11 pm
