TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mangsa banjir terus meningkat di Perak, Pulau Pinang

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 18 OKTOBER - Keadaan banjir di Perak dan Pulau Pinang bertambah buruk pagi ini dengan peningkatan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri berkenaan.

Di Perak, sebanyak 407 mangsa daripada 147 keluarga ditempatkan di empat PPS di daerah Larut, Matang dan Selama setakat 8 pagi ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, sebanyak empat PPS beroperasi di daerah itu susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan, iaitu Kampung Changkat Ibol, Kampung Batu 9, kawasan Trong dan kawasan Matang sejak semalam.

“Daripada jumlah itu, 181 mangsa daripada 57 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Ibol manakala 130 mangsa daripada 57 keluarga berlindung di Dewan Masjid Al-Wusta Batu 8.

“Selain itu, 79 mangsa daripada 24 keluarga ditempatkan di SK Matang Gelugor sementara 17 mangsa daripada sembilan keluarga berada di Dewan Perdana Trong,” menurut kenyataan itu. 

Sekretariat itu turut memaklumkan 56 mangsa daripada 21 keluarga masih ditempatkan di PPS SK Matang susulan kejadian ribut yang menjejaskan beberapa kampung di kawasan berkenaan sejak 14 Okt lepas. 

Antara kawasan terjejas ialah Kampung Changkat Baru Matang, Kampung Teluk Kertam, Kampung Melawati dan Kampung Hujung Matang manakala banjir menjejaskan Kampung Changkat Ibol, Kampung Batu 9 serta kawasan Trong dan Matang.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut di kesemua daerah pada petang ini manakala hujan pada sebelah malam.

Di Pulau Pinang, jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS SK Seri Penanti di sini meningkat kepada 36 orang berbanding 27 orang malam tadi.

Menurut laman sesawang InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 1.14 pagi ini, kesemua mangsa daripada 10 keluarga itu terdiri daripada 15 lelaki dan 21 perempuan, termasuk sembilan kanak-kanak.

PPS itu dibuka pada 8.30 malam tadi susulan banjir yang melanda kawasan Kubang Semang.

 

+ - reset