TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Allahyarham Norhazwani rajin, kerap kerja lebih masa - AKPS

By
|
Kongsi
image

TUMPAT 18 OKTOBER - Pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang ditemukan maut di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Nilai, Negeri Sembilan, Khamis lepas, disifatkan sebagai seorang yang rajin dan komited terhadap tugas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS SAC Datuk Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata Allahyarham  Norhazwani Ibrahim, 35, yang baru menyertai agensi itu 1 Julai lepas selepas bertukar daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, menunjukkan prestasi kerja yang baik sepanjang berkhidmat.

“Allahyarham kerap melakukan kerja lebih masa. Beliau seorang pegawai yang sangat bagus, rajin dan komited dengan kerja,” katanya ditemui pemberita di kediaman keluarga Norhazwani di Kampung Banjir, Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, di sini malam tadi.

Beliau berkata setakat ini pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat mengenai masalah yang mungkin dihadapi Allahyarham sebelum kejadian.

Mohd Nasaruddin berkata AKPS Kelantan menyalurkan sumbangan kewangan bagi membantu meringankan beban keluarga Norhazwani termasuk untuk dua anaknya yang masih memerlukan sokongan keluarga.

Beliau berkata sumbangan itu dikumpulkan daripada kalangan warga AKPS Kelantan manakala agensi itu juga akan meneliti bentuk bantuan kebajikan lain yang bersesuaian untuk keluarga Allahyarham khususnya khairat kematian.

Mohd Nasaruddin berkata bantuan kaunseling kepada keluarga Allahyarham juga mungkin diselaraskan oleh pihak ibu pejabat AKPS bagi membantu mereka menghadapi kehilangan berkenaan.

Pada Khamis lepas, Norhazwani ditemukan maut selepas disyaki ditikam suaminya di kuarters berkenaan dipercayai akibat perselisihan faham.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata polis menerima laporan mengenai kejadian pada 9.30 malam selepas suami mangsa berusia dalam lingkungan 30-an menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor memaklumkan kematian itu.

Lelaki itu kini direman hingga 22 Okt ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

+ - reset