TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Wanita direman, bantu siasatan penemuan mayat bayi tidak sempurna di Terengganu

By
|
Kongsi
image

HULU TERENGGANU 18 OKTOBER - Seorang wanita direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat bayi dalam keadaan tidak sempurna di Taman Perumahan Padang Setengge, Kuala Berang, di sini, Jumaat lalu.

Perintah reman terhadap wanita berusia 23 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Athirah Hashim di Mahkamah Majistret Kuala Berang, bermula hari ini hingga 21 Oktober bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab, berkata wanita itu ditahan pada jam 3.30 petang semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang atau menyembunyikan mayat secara sulit, sama ada bayi berkenaan meninggal dunia sebelum, semasa atau selepas dilahirkan,” katanya.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Media sebelum ini melaporkan penemuan mayat bayi dalam keadaan tidak sempurna di kawasan Perumahan Padang Setengge, di sini.

Hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, mendapati bayi berkenaan sudah meninggal dunia lebih 24 jam sebelum mayatnya ditemukan.

+ - reset