TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

“Saya yang paling tak layak berdiri di sebelah Bella” – Syed Saddiq jawab dakwaan tak sekufu dengan isteri

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Okt - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil mempertahankan isterinya, Bella Astillah daripada kecaman segelintir pihak yang mendakwa pasangan itu tidak sekufu.

Syed Saddiq, 34, berkata, beliau tidak lagi mahu berdiam diri apabila masih ada pihak menganggap Bella, 32, sebagai wanita yang bertuah kerana berjaya memiliki suami sepertinya.

Sebaliknya, beliau menyifatkan isterinya sebagai wanita luar biasa yang sudah memikul tanggungjawab membantu keluarga sejak berusia lima tahun, jauh lebih awal berbanding dirinya.

"Sebagai suami, sekarang menjadi kewajipan utama saya mempertahankan isteri daripada kata-kata segelintir orang yang mendakwa kami adalah pasangan tidak sekufu. Saya tahu mengenai kritikan dan kecaman itu.

"Cuma, sebelum ini saya memilih untuk berdiam sahaja, tetapi nampaknya masih berterusan. Sejak dari tahun lepas lagi, saya sudah menyedari perkara ini, tetapi biarkan dan kita hanya diam.

"Tetapi, saya lihat tetap ada juga yang masih melontarkan komen dalam media sosial mengatakan Bella beruntung kerana mendapat lelaki seperti saya. Syed Saddiq, lelaki yang 'green forest'," katanya.

Beliau ditemui pada majlis resepsi perkahwinannya bersama Bella di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, malam tadi.

Majlis itu dihadiri kira-kira 3,000 tetamu termasuk menteri, kenamaan, selebriti, ahli keluarga dan kenalan pasangan berkenaan.

Mengimbas zaman kanak-kanak mereka, Syed Saddiq berkata, Bella sudah menyertai pertandingan Bintang Kecil RTM ketika berusia lima tahun dan berjaya membantu keluarganya berpindah dari Sabah ke Kuala Lumpur dua tahun kemudian.

Katanya, pada usia tujuh tahun, beliau sendiri masih menghabiskan masa bermain bersama rakan sekolah, sedangkan Bella sudah berusaha mencari pendapatan untuk menyara keluarga.

"Saya pula ketika di usia tujuh tahun, masih lagi main getah pemadam dengan kawan di sekolah. Tetapi, Bella sudah berdikari dengan mencari sumber pendapatan untuk keluarganya, jadi dia wanita yang hebat.

"Cakap soal pendidikan juga, memang saya dapat tawaran di universiti terbaik, dapat lanjutkan pelajaran ke menara gading. Tetapi, ketika saya berada di menara gading, Bella sudah bergelar seorang ibu dan dia begitu luar biasa.

"Dia juga berjaya mendidik dua anaknya. Saya percaya sekiranya tanpa saya di sisi Bella pun, dia tetap mampu mengurus dan membesarkan anak-anak dengan tanggungjawab serta penuh kasih sayang.

"Jika benar mahu berbahas soal pasangan sekufu, saya berasa diri ini paling tidak layak untuk dibandingkan dan berdiri di sebelah Bella. Pada saya, 'she is the ultimate green forest, she is the ultimate mother. I am privileged to call her my wonderful wife' (Dia wanita yang sangat baik dan ibu yang hebat. Saya bertuah dapat memanggilnya isteri yang saya cintai)," katanya.

Syed Saddiq turut menyifatkan Bella sebagai seorang wanita yang berdikari, bijak mengurus keluarga dan memahami erti kasih sayang serta tanggungjawab terhadap anak-anak.

Beliau menegaskan, penjelasan terbuka itu dibuat kerana mahu mempertahankan kebahagiaan isterinya, selain memberi gambaran sebenar mengenai keperibadian Bella kepada mereka yang sebelum ini mungkin tidak mengenalinya dengan lebih dekat.

+ - reset