TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Timor-Leste, MY Events International jalin kerjasama anjur Forum Perniagaan ASEAN pertama November ini

By
|
Kongsi
image

DILI 19 Okt - Timor-Leste bakal menjadi tuan rumah Forum Perniagaan ASEAN buat julung kalinya pada November depan sebagai usaha memperkukuh kerjasama ekonomi, menarik pelaburan asing dan memperluas peluang perniagaan di negara itu.

Penganjuran forum berkenaan adalah hasil kerjasama antara Kementerian Perdagangan dan Industri Timor-Leste dengan MY Events International yang berhasrat membawa pemain industri serta usahawan antarabangsa terkemuka ke negara berkenaan.

Perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi MY Events International terhadap Menteri Perdagangan dan Industri Timor-Leste, Nino Pereira, di pejabat kementerian berkenaan di Bebora, Dili, hari ini.

Delegasi terbabit diketuai Pengarah MY Events International, Datin Wira Sabrina, bersama Ketua Pengarahnya, Dailan Muhammad Ravi dan Ketua Pengurus Projek, Mohamed Shariff.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perdagangan Timor-Leste, Elias de Jesus.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan dan Industri Timor-Leste, penganjuran forum berkenaan dijangka menjadi platform penting bagi menghimpunkan usahawan, pelabur dan wakil perdagangan dari Timor-Leste serta negara serantau.

Katanya, forum itu juga akan membuka ruang dialog dan jaringan kerjasama strategik dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meneroka potensi perniagaan baharu.

"Acara ini akan menjadi peluang penting untuk menggalakkan dialog antara usahawan, pelabur dan wakil perdagangan dari Timor-Leste serta negara di rantau ini bagi memperkukuh kerjasama ekonomi dan memperluas peluang perniagaan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Nino menyambut baik inisiatif dan usaha MY Events International dalam menjayakan penganjuran forum berkenaan.

Beliau menyifatkan kerjasama itu sebagai langkah penting dalam membuka peluang baharu kepada sektor swasta, selain membantu mempromosikan produk tempatan ke pasaran lebih luas.

Menurutnya, inisiatif berkenaan juga berpotensi menarik lebih banyak pelaburan serta memperkukuh hubungan perdagangan Timor-Leste dengan pasaran serantau dan antarabangsa.

Penganjuran forum itu sekali gus diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor perdagangan dan industri Timor-Leste menerusi penglibatan lebih meluas komuniti perniagaan antarabangsa.

+ - reset