TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

RM25.8 juta perkasa pendidikan murid India, termasuk tuisyen percuma untuk B40 - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Okt - Kerajaan MADANI memperuntukkan RM25.8 juta bagi melaksanakan tiga inisiatif pendidikan termasuk menyediakan tuisyen percuma, bantuan nutrisi dan kelengkapan pembelajaran kepada murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi kerjasama Yayasan Didik Negara dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi memperkukuh akses pendidikan serta memastikan murid tidak tercicir akibat kekangan kewangan keluarga.

Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Program Kalvi MADANI yang memberi tumpuan kepada keperluan pembelajaran murid B40.

Selain itu, usaha berkenaan turut merangkumi penyediaan perabot di 362 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta pemasangan papan pintar di 388 SJKT bagi meningkatkan kualiti persekitaran pembelajaran.

Fadhlina berkata, usaha memartabatkan sesuatu bahasa perlu disertai peluang pendidikan yang adil supaya semua murid berupaya menguasai pelajaran dan mencapai kejayaan tanpa dibatasi kedudukan ekonomi keluarga.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan sempena Bengkel Sinar Kejayaan Bahasa Tamil Kalvi MADANI 2026 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang dihadirinya hari ini.

Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan kepelbagaian bahasa dan budaya merupakan antara kekuatan Malaysia yang perlu terus dipelihara tanpa mengetepikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, setiap kali seorang kanak-kanak mempelajari bahasa ibunda, mereka bukan sekadar menguasai bahasa, malah turut mewarisi sejarah, ilmu dan identiti masyarakat masing-masing.

Beliau mengambil contoh bahasa Tamil yang mempunyai tradisi kesusasteraan panjang sejak zaman Sangam serta mengandungi falsafah kehidupan dan kebijaksanaan yang diwariskan merentas generasi.

Menurutnya, bahasa Melayu perlu terus dimartabatkan sebagai bahasa kebangsaan, manakala bahasa lain dipelihara sebagai sebahagian daripada khazanah ilmu dan identiti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Fadhlina turut menyeru calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan yang disediakan kerajaan.

Beliau mahu generasi muda bukan sahaja mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, malah memahami akar budaya sendiri serta menghormati warisan masyarakat lain.

Katanya, perpaduan yang kukuh tidak memerlukan masyarakat meninggalkan identiti masing-masing, sebaliknya terbina melalui sikap saling memahami dan menghargai kepelbagaian budaya serta bahasa.

+ - reset