TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Polis buru lelaki menyamar pengawal peribadi Raja Muda Selangor, lakukan aktiviti penipuan

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM, 19 Okt. – Pihak polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki menyamar sebagai pengawal peribadi sulit (ADC) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, bagi memperdaya orang ramai dalam urusan jual beli rumah dan kenderaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan bahawa pihak polis menerima laporan berhubung hantaran di platform Threads daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor, Istana Mestika pada jam 9.53 pagi, 15 Oktober lalu.

Suspek didakwa menggunakan gambar Raja Muda Selangor serta mengaitkan kedudukan berkenaan untuk mengambil wang daripada mangsa menerusi transaksi pembelian aset terbabit.

Pihak polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kes penipuan berkenaan dan tindakan mengesan suspek sedang aktif dijalankan.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa membuat semakan dan pengesahan menerusi saluran rasmi sebelum melunaskan sebarang transaksi kewangan demi mengelakkan kes penipuan.

Pihak pentadbiran Istana Selangor memandang serius insiden penyamaran berkenaan dan menyokong tindakan pihak polis untuk menjalankan siasatan secara telus, adil, serta menyeluruh tanpa melindungi mana-mana individu.

+ - reset