TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Peguam Negera sahkan Mohd Shuhaily akan didakwa di mahkamah esok

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 20 Okt - Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dijadual dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang, esok, atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.

Perkara itu disahkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan kedua-dua pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Saya sahkan Datuk Shuhaily akan dituduh di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja mencederakan dua anggota polis di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pertuduhan itu berkaitan kejadian yang dilaporkan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang pada 28 September lalu.

Terdahulu, pada 17 Oktober, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memulangkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, beberapa penambahbaikan perlu dilakukan terhadap kertas siasatan itu sebelum AGC dapat membuat keputusan mengenai tindakan seterusnya.

“Kertas siasatan itu mengandungi kenyataan yang dirakam daripada saksi dan semua maklumat yang dikumpulkan sepanjang siasatan sebelum diserahkan kepada AGC.

“AGC perlu berpuas hati sepenuhnya dengan hasil siasatan sebelum membuat keputusan. Biasanya jika tidak berpuas hati, AGC akan memulangkan kertas siasatan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Susulan itu, Saifuddin Nasution berkata, polis diarahkan melengkapkan siasatan berdasarkan keperluan dan penambahbaikan yang ditetapkan AGC.

+ - reset