Berita Berita
'Wanita perlu sedar, suami kawal kewangan, tak beri belanja isteri juga satu bentuk keganasan rumah tangga – Nancy
SEBERANG PERAI 20 Okt - Tindakan pasangan mengawal kewangan sehingga menyebabkan wanita tidak mampu memenuhi keperluan diri dan keluarga juga boleh dikategorikan sebagai satu bentuk keganasan rumah tangga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keganasan ekonomi perlu diberikan perhatian serius kerana penderaan rumah tangga bukan hanya membabitkan kekerasan fizikal atau lisan.
Menurutnya, kawalan kewangan yang keterlaluan bukan sahaja membebankan wanita, malah berpotensi menjejaskan kesihatan emosi sehingga menyebabkan kemurungan dan menggugat keharmonian keluarga.
“Apabila seseorang wanita tidak diberikan wang untuk perbelanjaan rumah, perkara itu juga boleh menjadi satu bentuk keganasan melalui kawalan kewangan dan ekonomi.
“Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa berasa tertekan, tidak berpuas hati dengan pasangan dan akhirnya menjejaskan kehidupan seluruh keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Eliminate Violence Against Women (EVAW) bersempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2026 di sini, hari ini.
Nancy berkata, kementeriannya giat melaksanakan pelbagai program kesedaran sepanjang tahun di seluruh negara bagi memastikan wanita memahami hak mereka, mengetahui saluran mendapatkan bantuan serta berupaya membina semula kehidupan.
Katanya, inisiatif berkenaan turut memberi tumpuan kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga atau berdepan masalah perceraian.
Dalam masa sama, beliau berkata, usaha memperkasakan ekonomi wanita terus dipertingkat bagi membantu golongan itu mencapai kestabilan kewangan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pasangan yang melakukan keganasan.
Mengulas peningkatan jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan, Nancy berkata, keadaan itu tidak semestinya menggambarkan kejadian berkenaan semakin berleluasa.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, peningkatan laporan juga boleh menunjukkan bahawa semakin ramai mangsa menyedari hak mereka dan mempunyai keberanian untuk tampil mendapatkan perlindungan serta bantuan.
“Kementerian turut menyediakan bantuan kewangan kira-kira RM1 juta yang mula dilaksanakan tahun ini serta bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan rumah transit kepada mangsa yang memerlukan perlindungan sementara,” ujarnya.
Sumber : Kosmo Online
Berita berkaitan
October 20, 2026, 11:35 pm
Anwar mahu rakyat mula guna TuJu, kurangkan kebergantungan kepada Waze susulan risiko keselamatan data
October 20, 2026, 5:44 pm
Kematian murid SK Dengkil: Fadhlina sedih, arah JPN Selangor bantu keluarga mangsa
October 20, 2026, 3:33 pm
Pengasuh ditahan, bayi 10 bulan meninggal dunia dalam jagaan
October 20, 2026, 3:25 pm
“Saya reda, hormati apa juga keputusan” – Mohd Shuhaily bakal didakwa esok
October 20, 2026, 3:10 pm
Minta masuk tandas bersama, jurulatih kecerdasan direman 'sentuh' anak rakan berumur 9 tahun
October 20, 2026, 3:04 pm
Suami pegawai AKPS maut di kuarters Nilai miliki 16 rekod jenayah lampau
October 20, 2026, 3:00 pm
