TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Salah disisi undang-undang' - Hannah Yeoh ingatkan rakyat Malaysia jangan ambil tindakan sendiri terhadap peniaga warga asing

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 21 Okt - Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di ibu negara kerana perbuatan sedemikian menyalahi undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, sebarang tindakan penguatkuasaan perlu diserahkan kepada agensi yang mempunyai bidang kuasa bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

“Nasihat saya kepada warga Malaysia, jangan ambil tindakan sendiri kerana itu sudah menyalahi undang-undang.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak boleh bergerak sendiri kerana kuasa mereka terhad kepada akta yang dipegang.

“Kita kena pastikan agensi yang betul datang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri projek naik taraf bilik multisensori pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Sinar, di sini, hari ini.

Hannah berkata, isu peniaga warga asing tanpa lesen yang terus berlarutan memerlukan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, operasi secara bersepadu perlu dilaksanakan kerana Jabatan Wilayah Persekutuan dan PBT mempunyai bidang kuasa yang terhad.

“Jabatan Wilayah Persekutuan atau PBT, bukan sahaja di Kuala Lumpur, saya yakin di semua tempat di seluruh Malaysia, tidak boleh bergerak sendiri.

“Mesti ada operasi bersepadu,” katanya sambil memaklumkan isu berkenaan turut kerap dibangkitkan di Parlimen.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Segambut itu berkata, beliau sudah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperketat pemeriksaan lesen perniagaan bagi memastikan lesen yang diluluskan hanya digunakan oleh individu yang layak.

“Kalau kita tahu pemohon warga negara Malaysia dapat lesen tetapi dia sub-sewakan kepada warga asing, PBT memang akan membatalkan lesen itu,” katanya.

Sementara itu, Hannah berkata, beliau turut mengarahkan supaya operasi berkaitan gelandangan dipertingkatkan, selain turun padang bersama pimpinan Jabatan Wilayah Persekutuan bagi meninjau keadaan sebenar.

Katanya, perkara berkenaan turut dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dengan penekanan terhadap keperluan memperluas operasi bersepadu di seluruh negara.

Mengulas aspek ketelusan penguatkuasaan, Hannah berkata, DBKL secara berkala berkongsi aktiviti operasi menerusi laman Facebook rasminya.

Beliau berkata, peruntukan bagi pembelian kamera badan untuk anggota penguat kuasa DBKL turut dimasukkan dalam belanjawan tahun depan bagi meningkatkan ketelusan operasi.

“Buat masa ini penggunaan kamera badan sangat terhad.

“Butiran lanjut mengenai bilangan unit dan peruntukan, perlu diperoleh daripada DBKL,” katanya.

+ - reset