Berita Berita
'Dah tiga tahun' - Ruhainies terkilan ibu ayah bagi nama dengan makna baik, tapi ada netizen panggil 'Ruhanat'
KUALA LUMPUR 21 Okt - Pelakon Ruhainies mengakui terkesan apabila namanya dijadikan bahan ejekan menerusi gelaran berbaur penghinaan ‘Ruhanat’ yang didakwa digunakan segelintir netizen sejak tiga tahun lalu.
Ruhainies, 34, berkata, tindakan mempersendakan namanya bukan sahaja mencalarkan reputasi, malah mengguris perasaannya kerana nama itu diberikan ibu bapanya dengan maksud yang baik.
“Mereka mengubah nama saya kepada gelaran ‘Ruhanat’. Ibu bapa saya memberikan nama yang baik dan mempunyai maksud yang baik.
“Saya belum mengenal pasti siapa yang memulakan gelaran itu, tetapi netizen lain terus mengikutinya sehingga kini. Perkara ini sudah berlarutan selama tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang didakwa memfitnahnya, di sini, semalam.
Menurut Ruhainies, terdapat pihak yang mengambil kesempatan menggunakan namanya sebagai umpan untuk meraih perhatian di media sosial, termasuk bagi tujuan komersial.
Katanya, tindakan sedemikian dilakukan untuk meningkatkan capaian akaun masing-masing bagi mempromosikan produk atau pautan perniagaan tanpa memikirkan kesannya terhadap emosi individu yang menjadi sasaran.
“Sesetengah pihak menggunakan nama saya sebagai ‘clickbait’ atau ‘rage bait’ untuk meningkatkan capaian akaun mereka bagi menjual produk atau mempromosikan pautan perniagaan.
“Tolonglah fikirkan kesan terhadap emosi mangsa fitnah dan hormatilah hukum-hakam,” katanya.
Bagaimanapun, Ruhainies berkata, beliau memilih untuk menerima segala dugaan yang dilalui dengan hati terbuka dan menjadikannya sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri.
“Setiap dugaan ada hikmahnya. Sepanjang 34 tahun hidup, terlalu banyak nikmat yang Allah berikan. Saya reda dengan ujian ini dan menganggapnya sebagai proses pembelajaran hidup.
“Selepas ujian ini, banyak rezeki dan kehadiran orang baik datang dalam hidup saya. Saya tidak mahu mengenangkan perkara lalu, sebaliknya mahu fokus pada masa depan serta memperbaiki diri.
“Hikmah terbesar daripada ujian ini adalah saya dapat mendekatkan diri kepada Allah, menjadi lebih matang dan menghargai orang sekeliling,” katanya.
Terdahulu, Ruhainies melantik dua peguam, Mohd Haizal Ayop daripada EzriLaw Firm dan Fakhrul Azman Abu Hasan daripada Azainie & Fakhrul, bagi menguruskan tindakan undang-undang berhubung dakwaan fitnah yang dikaitkan dengan tiga individu.
Pihaknya sudah menyerahkan notis tuntutan (LOD) kepada ketiga-tiga individu terbabit supaya bertanggungjawab terhadap hantaran yang diterbitkan, selain menurunkan atau memadamkan kandungan berkenaan dan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari bermula semalam.
Sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, pihak Ruhainies akan meneruskan tindakan saman sivil dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta daripada setiap individu terbabit.
Berita berkaitan
October 21, 2026, 11:20 pm
Pelajar kolej ditemukan maut berlumuran darah di belakang restoran
October 21, 2026, 10:56 pm
BN, Pas sah bergabung hadapi PRN Melaka, pembahagian 28 kerusi dimuktamadkan
October 21, 2026, 10:34 pm
Polis berjaya tahan pelajar 16 tahun serang guru dengan kapak di sekolah
October 21, 2026, 9:38 pm
JAKIM sahkan premis sembelih ayam tular tiada sijil halal, sudah diarah tutup 10 Oktober lalu
October 21, 2026, 6:28 pm
Sarawak umum bantuan khas kewangan dua bulan gaji kepada anggota Perkhidmatan Awam Negeri
October 21, 2026, 6:19 pm
Lelaki warga emas ditahan didakwa cabul anak pegawai kanan polis di gimnasium
October 21, 2026, 6:15 pm
Wanita Indonesia promosi khidmat imigresen haram menerusi TikTok ditahan di Shah Alam
October 21, 2026, 6:11 pm
Kerajaan larang penjawat awam guna Waze demi elak ancaman keselamatan rejim Israel
October 21, 2026, 6:08 pm
