Berita Berita
Pelajar kolej ditemukan maut berlumuran darah di belakang restoran
PORT DICKSON – Seorang pelajar tahun akhir sebuah kolej di Melaka ditemukan maut dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di belakang sebuah restoran di Dataran Segar, Lukut, di sini pada Rabu.
Mangsa lelaki berusia 21 tahun yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah hotel berhampiran ditemukan orang awam sebelum kejadian dilaporkan kepada polis kira-kira jam 6.05 pagi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 berhubung penemuan mayat lelaki tempatan itu.
"Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah telah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki tempatan dalam keadaan berlumuran darah.
"Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap, berusia 21 tahun dan merupakan pelajar tahun akhir di sebuah kolej di Melaka," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, pemeriksaan forensik polis menemukan kecederaan pada bahagian muka serta patah pada tangan mangsa, namun tiada kesan pergulatan atau kecederaan mempertahankan diri.
"Namun tiada sebarang kesan pergulatan atau kecederaan mempertahankan diri.
"Siasatan juga mendapati mangsa menginap di sebuah bilik sewa tiga tingkat yang dijadikan hostel berhampiran lokasi penemuan mayat," katanya.
Ahmad Afiq berkata, pemeriksaan lanjut di tempat tinggal mangsa juga tidak menemukan sebarang kesan geledah, selain tiada kehilangan barang berharga atau dokumen peribadi miliknya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat yang dijalankan pada jam 3 petang.
"Proses bedah siasat yang dijalankan pada jam 3 petang mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan abdomen.
"Hasil pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan berhubung kejadian bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Berita berkaitan
October 21, 2026, 10:56 pm
BN, Pas sah bergabung hadapi PRN Melaka, pembahagian 28 kerusi dimuktamadkan
October 21, 2026, 10:34 pm
Polis berjaya tahan pelajar 16 tahun serang guru dengan kapak di sekolah
October 21, 2026, 9:38 pm
JAKIM sahkan premis sembelih ayam tular tiada sijil halal, sudah diarah tutup 10 Oktober lalu
October 21, 2026, 6:28 pm
Sarawak umum bantuan khas kewangan dua bulan gaji kepada anggota Perkhidmatan Awam Negeri
October 21, 2026, 6:19 pm
Lelaki warga emas ditahan didakwa cabul anak pegawai kanan polis di gimnasium
October 21, 2026, 6:15 pm
Wanita Indonesia promosi khidmat imigresen haram menerusi TikTok ditahan di Shah Alam
October 21, 2026, 6:11 pm
Kerajaan larang penjawat awam guna Waze demi elak ancaman keselamatan rejim Israel
October 21, 2026, 6:08 pm
