Berita Berita
Terjerat tawaran kerja lumayan, 72 rakyat Malaysia ditahan kes dadah bernilai RM81.76 juta
KUALA LUMPUR 22 Okt – Seramai 72 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki terbabit dalam kesalahan berkaitan dadah, membabitkan rampasan kira-kira 1,704 kilogram bahan terlarang bernilai RM81.76 juta sejak Januari hingga 15 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 48 kes direkodkan sepanjang tempoh berkenaan dengan tangkapan melibatkan 57 lelaki dan 15 wanita.
Menurutnya, Thailand mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi membabitkan 19 rakyat Malaysia, diikuti Indonesia (16), Taiwan dan Singapura masing-masing lapan orang serta Jepun (lima).
Katanya, empat lagi ditahan di Filipina, masing-masing tiga di India dan Hong Kong, dua di Macau, manakala Korea Selatan, Nigeria, Maldives dan Sri Lanka masing-masing seorang.
"JSJN memandang serius kemungkinan sindiket dadah antarabangsa mempergunakan warga Malaysia sebagai pembawa atau penghantar dadah melalui pelbagai kaedah termasuk tawaran pekerjaan, imbuhan lumayan, pembiayaan perjalanan serta penghantaran barangan bagi pihak ketiga.
"Taktik sedemikian berpotensi memperdaya individu yang kurang menyedari risiko dan implikasi perundangan sekali gus mendedahkan mereka kepada tindakan undang-undang yang berat di negara berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata, antara kes yang mendapat perhatian ialah penahanan lima rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo pada Oktober lalu kerana disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram kokain bernilai RM3.1 juta.
Selain itu, beberapa rakyat Malaysia turut ditahan dalam kes berkaitan dadah di Macau dan Singapura.
Beliau berkata, kes berkenaan menunjukkan risiko serius penglibatan rakyat Malaysia dalam sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang boleh membawa kepada hukuman berat mengikut undang-undang negara terbabit.
"Setiap warga Malaysia yang berada di luar negara adalah tertakluk kepada undang-undang negara tersebut... beberapa negara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand memperuntukkan hukuman berat termasuk hukuman mati bagi kesalahan dadah tertentu tertakluk kepada jenis kesalahan, kuantiti dadah serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Negara lain turut mengenakan hukuman penjara jangka panjang atau seumur hidup bagi kesalahan pengedaran dan penyeludupan dadah yang serius... setiap individu perlu memahami bahawa penglibatan dalam jenayah dadah boleh membawa akibat amat berat terhadap masa depan diri dan keluarga,” katanya.
Sehubungan itu, Hussein mengingatkan orang ramai terutama golongan belia, pelajar dan individu yang merancang ke luar negara supaya berwaspada terhadap tawaran pekerjaan, perjalanan percuma atau imbuhan lumayan yang mencurigakan.
"Orang ramai juga dilarang membawa, menjaga atau menyerahkan barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungan dan tujuan sebenar... jangan mudah terpedaya, sindiket boleh memperalatkan sesiapa sahaja sebagai keldai dadah.
"Tiada kompromi terhadap kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah... masyarakat diingatkan agar tidak mudah diperalatkan oleh sindiket demi keuntungan sementara yang boleh mengundang hukuman berat, mengancam masa depan serta mencemarkan imej negara,” katanya.
Berita berkaitan
October 22, 2026, 11:06 am
13,072 jawatan doktor KKM kosong, 3,510 letak jawatan dalam tempoh tiga tahun
October 22, 2026, 10:38 am
Baru sehari disuruh berhenti guna Waze, sistem navigasi TuJu pula dah terganggu
October 21, 2026, 11:20 pm
Pelajar kolej ditemukan maut berlumuran darah di belakang restoran
October 21, 2026, 10:56 pm
BN, Pas sah bergabung hadapi PRN Melaka, pembahagian 28 kerusi dimuktamadkan
October 21, 2026, 10:34 pm
Polis berjaya tahan pelajar 16 tahun serang guru dengan kapak di sekolah
October 21, 2026, 9:38 pm
JAKIM sahkan premis sembelih ayam tular tiada sijil halal, sudah diarah tutup 10 Oktober lalu
October 21, 2026, 6:28 pm
Sarawak umum bantuan khas kewangan dua bulan gaji kepada anggota Perkhidmatan Awam Negeri
October 21, 2026, 6:19 pm
