Berita Berita
13,072 jawatan doktor KKM kosong, 3,510 letak jawatan dalam tempoh tiga tahun
KUALA LUMPUR – Sebanyak 13,072 jawatan doktor di Kementerian Kesihatan (KKM) masih belum diisi setakat 30 Jun lalu, manakala 3,510 pegawai perubatan tetap dan kontrak direkodkan meletakkan jawatan antara 2024 hingga 2026.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah kekosongan itu, sebanyak 1,660 membabitkan jawatan pegawai perubatan pakar, manakala 11,412 lagi adalah bagi pegawai perubatan bukan pakar.
Menurutnya, daripada keseluruhan 3,510 pegawai perubatan yang meletakkan jawatan, seramai 1,252 merupakan pegawai tetap, manakala 2,258 lagi pegawai kontrak.
Beliau berkata, kementerian turut merekodkan lapan pakar perubatan yang meletakkan jawatan atau berhijrah ke luar negara.
Katanya, jumlah peletakan jawatan itu direkodkan daripada keseluruhan 14,064 pegawai perubatan tetap dan 9,847 pegawai kontrak yang dilantik kementerian dalam tempoh berkenaan.
Berdasarkan rekod KKM, Dzulkefly berkata, tawaran pekerjaan dalam sektor swasta menjadi faktor utama peletakan jawatan, merangkumi 51.4 peratus daripada keseluruhan kes.
“Faktor peribadi menyumbang sebanyak 36.8 peratus diikuti oleh khidmat bersama badan berkanun (4.5 peratus), bekerja atau menetap di luar negara (2.9 peratus), masalah kesihatan (2.6 peratus), melanjutkan pengajian (1.5 peratus) dan membuka klinik sendiri (0.3 peratus),” katanya.
Beliau menjawab soalan bertulis V Ganabatirau (PH-Klang) di Parlimen yang meminta maklumat mengenai jumlah doktor yang meletakkan jawatan atau berhijrah ke luar negara, kekosongan jawatan, kekurangan doktor pakar, tempoh menunggu penempatan latihan siswazah (housemanship) serta langkah mengekalkan doktor dalam perkhidmatan awam.
Mengulas usaha menangani kekurangan tenaga kerja itu, Dzulkefly berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menubuhkan pasukan petugas pada April lalu bagi meneliti isu berkaitan pengisian jawatan.
KKM turut diberikan kuasa lebih besar untuk mengurus dan mengagihkan jawatan yang diluluskan bagi mempercepat proses pengambilan pegawai perubatan.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, enam hospital kerajaan berjaya mencapai sasaran merawat sekurang-kurangnya 70 peratus pesakit bukan kecemasan dalam tempoh dua jam, berbanding purata masa menunggu sebelum ini antara empat hingga enam jam.
Menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Bebas-Tanjong Karang), beliau berkata, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh mencatatkan prestasi tertinggi apabila 98.61 peratus pesakit di zon hijau menerima rawatan dalam tempoh sasaran dua jam.
Hospital Ampang berada di kedudukan kedua dengan 88.78 peratus, diikuti Hospital Selayang (74.1 peratus), Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru (73.2 peratus), Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang (72.2 peratus) dan Hospital Kuala Lumpur (71.8 peratus).
“Kehadiran pesakit di enam hospital utama itu juga menurun sebanyak sembilan peratus selepas klinik kesihatan kerajaan terpilih melanjutkan waktu operasi mereka,” katanya.
Menurutnya, klinik kesihatan terpilih kini beroperasi sehingga jam 9 malam pada hari bekerja, manakala pada hujung minggu dan cuti umum, waktu operasi ditetapkan dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.
“Langkah melencongkan kes-kes ringan ke klinik kesihatan ini terbukti memberikan impak segera dengan mencatatkan penurunan kehadiran fizikal pesakit di hospital,” katanya.
Berita berkaitan
October 22, 2026, 10:38 am
Baru sehari disuruh berhenti guna Waze, sistem navigasi TuJu pula dah terganggu
October 22, 2026, 9:27 am
Terjerat tawaran kerja lumayan, 72 rakyat Malaysia ditahan kes dadah bernilai RM81.76 juta
October 21, 2026, 11:20 pm
Pelajar kolej ditemukan maut berlumuran darah di belakang restoran
October 21, 2026, 10:56 pm
BN, Pas sah bergabung hadapi PRN Melaka, pembahagian 28 kerusi dimuktamadkan
October 21, 2026, 10:34 pm
Polis berjaya tahan pelajar 16 tahun serang guru dengan kapak di sekolah
October 21, 2026, 9:38 pm
JAKIM sahkan premis sembelih ayam tular tiada sijil halal, sudah diarah tutup 10 Oktober lalu
October 21, 2026, 6:28 pm
Sarawak umum bantuan khas kewangan dua bulan gaji kepada anggota Perkhidmatan Awam Negeri
October 21, 2026, 6:19 pm
