TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Baru sehari disuruh berhenti guna Waze, sistem navigasi TuJu pula dah terganggu

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 22 Okt – Aplikasi navigasi tempatan, TuJu, sedang menjalani proses naik taraf sistem sehingga menyebabkan fungsi navigasinya terganggu sementara, hanya sehari selepas kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia beralih daripada Waze kepada aplikasi alternatif buatan tempatan itu.

Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan perkara itu menerusi notis yang disiarkan di akaun rasmi X agensi berkenaan.

"Aplikasi TuJu sedang menjalani penambahbaikan sistem bagi memberikan pengalaman perjalanan yang lebih baik.

"Sepanjang tempoh ini, fungsi navigasi akan terganggu buat sementara waktu, manakala paparan kamera litar tertutup (CCTV) dan fungsi lain yang tersedia masih boleh digunakan seperti biasa," menurut notis itu.

Bagaimanapun, notis berkenaan tidak menyatakan tempoh yang diperlukan sebelum fungsi navigasi aplikasi itu kembali beroperasi sepenuhnya.

Gangguan itu berlaku sehari selepas kerajaan mengarahkan penjawat awam supaya tidak menggunakan aplikasi Waze ketika menjalankan tugas rasmi atas kebimbangan berkaitan keselamatan data serta kaitan aplikasi berkenaan dengan Israel.

Arahan berkuat kuasa serta-merta itu dibuat susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, kemudian mengarahkan ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan memastikan arahan berkenaan disampaikan kepada penjawat awam di bawah seliaan masing-masing.

Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) kemudiannya menjelaskan sekatan itu hanya terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Perdana Menteri menggalakkan rakyat Malaysia berhenti menggunakan Waze dan mempertimbangkan aplikasi alternatif buatan tempatan, termasuk TuJu.

Kerajaan menyuarakan kebimbangan bahawa maklumat pergerakan pengguna serta data peribadi berpotensi terdedah kepada risiko keselamatan kerana operasi Waze tertakluk kepada undang-undang Israel.

TuJu dibangunkan menerusi kerjasama antara LLM dengan Prosignal Consortium Sdn Bhd.

Aplikasi itu menyediakan pelbagai kemudahan termasuk navigasi laluan, anggaran masa ketibaan, maklumat tol, kemas kini trafik serta akses kepada siaran langsung kamera CCTV lebuh raya.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat mengenai kawasan rehat dan rawat (R&R) serta bantuan kecemasan menerusi aplikasi berkenaan.

+ - reset