TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua rakan maut motosikal dirempuh dari belakang, pemandu dipercayai larikan diri

By
|
Kongsi
image

GEORGE TOWN 22 Okt – Dua rakan masing-masing lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 20 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah kenderaan dari arah belakang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, berhampiran susur ke Jambatan Pulau Pinang, awal pagi Khamis.

Kedua-dua mangsa yang berasal dari Padang Serai, Kedah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kenderaan terbabit dipercayai melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.30 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 4 pagi ketika motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari pusat bandar George Town menghala ke Jambatan Pulau Pinang.

“Motosikal berkenaan dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti ketika berada di susur bercabang menghala ke Jambatan Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Abdul Rozak berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Shahidatul Alyaa Nordin menerusi talian 019-688 6106.

+ - reset