TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kapal tangki milik syarikat Malaysia ditahan, 1.16 tan ketamin dirampas

By
|
Kongsi
image

 

JAKARTA 24 Okt – Sebuah kapal tangki yang dimiliki syarikat berpangkalan di Johor Bahru, Malaysia, dipintas pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah di perairan Sumatera Utara.

Dalam operasi bersepadu itu, sebanyak 1.16 tan ketamin dirampas, manakala lapan anak kapal termasuk seorang warga asing ditahan.

Menurut laporan Bernama yang memetik Xinhua, Ketua Unit Siasatan Narkotik Polis Nasional Indonesia, Suyudi Ario Seto berkata, kapal tangki MT Global 168 dipintas di luar perairan Tanjung Balai Asahan selepas hampir seminggu dipantau pihak berkuasa.

Katanya, operasi berkenaan membabitkan kerjasama polis, Badan Narkotik Kebangsaan, kastam dan polis marin Indonesia.

Suyudi berkata, pihak berkuasa mula menjejaki pergerakan kapal itu pada 14 Oktober lalu ketika ia belayar melalui perairan berhampiran Malaysia sebelum menuju ke utara Aceh dan Thailand.

Siasatan turut menemukan kejanggalan pada sistem pengenalan automatik kapal berkenaan apabila ia memaparkan dua nama berbeza, iaitu MT Global dan Gross Dolphin.

Menurut laporan AFP, kapal tangki yang mengibarkan bendera Mongolia itu dimiliki sebuah syarikat berpangkalan di Johor Bahru.

Suyudi berkata, pemeriksaan terhadap kapal berkenaan membawa kepada penemuan 58 guni mengandungi ketamin seberat keseluruhan 1.16 tan.

Pihak berkuasa turut merampas peralatan komunikasi dan kapal tangki terbabit, selain menahan tujuh anak kapal warga Indonesia serta seorang warga asing.

Beliau mendedahkan perkara itu ketika berucap di Pelabuhan Bandar Deli, Medan pada Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, Reuters melaporkan pihak berkuasa Indonesia turut menemukan 1.2 tan syabu bernilai kira-kira 2.16 trilion rupiah (RM487.29 juta) di sebuah makmal dadah haram di wilayah Aceh.

Indonesia terkenal dengan penguatkuasaan undang-undang dadah yang ketat, termasuk pelaksanaan hukuman mati terhadap pesalah pengedaran dadah.

Pada 2015, dua warga Australia yang terbabit dalam sindiket dadah dikenali sebagai 'Bali Nine' menjalani hukuman mati selepas disabitkan kesalahan cuba menyeludup heroin keluar dari pulau peranginan Bali.

+ - reset