Berita Berita
Hancur hati bapa lihat sendiri empat anak bergelimpangan selepas kemalangan, seorang maut ketika pulang makan bersama
BATU PAHAT 24 Okt – Seorang bapa berdepan detik paling menyayat hati apabila menemui anak-anaknya dalam keadaan parah dan tidak sedarkan diri selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Johor Bahru-Melaka, berhampiran Bagan, di sini, malam tadi.
Lebih memilukan, seorang daripada anaknya, Putera Muhaimin Qudrat Mohd Noor Wandi, 16, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tiga lagi cedera termasuk anak bongsunya yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Bapa mangsa, Noorwandi A Rahim, 41, berkata, kejadian kira-kira jam 10 malam itu diketahui selepas dia menerima panggilan daripada adiknya yang memaklumkan kereta dinaiki anak-anak bersama adik perempuan dan adik iparnya terbabit dalam kemalangan.
Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama isteri, Norfarahin Mohammad, 38, baru sahaja pulang ke rumah selepas keluar makan malam di sebuah pusat beli-belah.
"Waktu itu, saya dan isteri, Norfarahin Mohammad, 38, sudah tiba di rumah selepas keluar makan malam bersama di sebuah pusat beli-belah. Saya dan isteri menaiki motosikal, manakala anak-anak menaiki kereta yang dipandu adik ipar.
"Sebaik tiba di lokasi, saya melihat anak-anak saya bergelimpangan. Putera Muhaimin Qudrat Mohd Noor Wandi, 16, pula dalam keadaan tertiarap dengan mukanya dipenuhi pasir dan petrol.
"Saya dan isteri terus mendapatkan tiga lagi anak kami, iaitu Putera Muhaimin Qudrat, 11, Puteri Nur Fairuza Balqis, 15, Putera Khairunas, 11, dan Putera Aidin Firdaus, 3. Adik ipar, Nor Azlan Shaharudin, 27, pula tersepit di tempat duduk pemandu.
"Saya kemudian membaringkan arwah Putera Muhaimin Qudrat, namun dia hanya menunjukkan tindak balas sekali sebelum senyap. Pasukan perubatan cuba memberikan bantuan, tetapi anak saya disahkan meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSNI.
Noorwandi berkata, anak bongsunya, Putera Aidin Firdaus, 3, masih menerima rawatan rapi selepas mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan di kepala serta patah beberapa anggota badan.
"Puteri Nur Fairuza Balqis alami patah paha dan cedera di dada, selain ada sedikit pendarahan di kepala. Putera Khairunas pula luka ringan dan keadaannya kini stabil.
"Putera Aidin Firdaus mengalami pendarahan di kepala, selain patah kedua-dua tangan, kaki dan bahu. Dia kini dalam pemantauan pasukan perubatan di ICU.
"Adik saya, Rahmah A Rahim, 26, iaitu isteri Nor Azlan, juga stabil dan sudah dimasukkan ke wad. Dia memberitahu bahawa sebelum kemalangan, kereta dinaiki mereka dilanggar dari belakang.
"Kereta itu kemudian melanggar jambatan dan sebuah kereta yang berada di bengkel sebelum merempuh pokok kelapa," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati kereta terbabit dalam perjalanan dari Batu Pahat menuju ke Parit Moin, Bagan sebelum kemalangan berlaku.
Menurutnya, pemandu dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum kenderaan terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan.
"Kesemua mangsa yang cedera masih dirawat di HSNI dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian," katanya.
Berita berkaitan
October 24, 2026, 4:45 pm
Penyelia maut dirempuh kereta dipandu lelaki mabuk ketika pasang papan tanda di lebuh raya
October 24, 2026, 2:55 pm
Berkali-kali mohon bantuan kerusi roda kena 'sidai, OKU di Kelantan akhirnya dibantu Steven Sim
October 24, 2026, 2:35 pm
‘Pelajar tidak sepatutnya hidang arak’ – JPNS siasat dakwaan pada majlis makan malam
October 24, 2026, 1:35 pm
Yayasan Budimas kumpul setengah juta ringgit, beri sinar buat lebih 50,000 kanak-kanak setiap tahun
October 24, 2026, 11:13 am
Kapal tangki milik syarikat Malaysia ditahan, 1.16 tan ketamin dirampas
October 23, 2026, 10:44 pm
15 tahun tunggu 'flyover', penduduk Alam Budiman bawa enam kubur tepi jalan simbolik tuntut penyelesaian
October 23, 2026, 10:23 pm
Sampai hati ibu! Mayat bayi perempuan tujuh bulan ditemui dalam tong sampah apartmen
October 23, 2026, 10:05 pm
Murid Tahun Satu maut dipercayai jatuh dari tingkat 10 PPR ketika main basikal
October 23, 2026, 5:17 pm
