TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Yayasan Budimas kumpul setengah juta ringgit, beri sinar buat lebih 50,000 kanak-kanak setiap tahun

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 Okt – Yayasan Budimas berjaya mengumpul kira-kira RM500,000 menerusi penganjuran Majlis Makan Malam Amal Budimas Ke-8 2026 bagi memperkukuh usaha membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh negara.

Majlis yang menghimpunkan lebih 350 tetamu termasuk wakil pelbagai organisasi korporat itu menjadi platform bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan golongan berkenaan, selain menggalakkan penyertaan lebih ramai penyumbang.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budimas, Anne Rajasaikaran berkata, kutipan tersebut diperoleh menerusi sumbangan orang ramai dan jualan meja pada majlis berkenaan.

Menurutnya, sebanyak 20 meja disediakan pada malam tersebut, manakala jumlah kutipan dijangka meningkat menerusi acara lelongan senyap yang turut dianjurkan bagi mendapatkan dana tambahan.

“Setakat ini, kami berjaya mengumpul kira-kira RM500,000 dan amat berterima kasih atas sokongan yang diberikan.

“Kami juga mengadakan lelongan senyap malam ini dan berharap dapat memperoleh lebih banyak sumbangan selepas ini,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Anne berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sekadar bertujuan mengumpul dana, sebaliknya menjadi medium untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan kanak-kanak kurang bernasib baik yang masih memerlukan sokongan berterusan.

Katanya, jumlah kanak-kanak yang memerlukan bantuan di Malaysia terlalu ramai sehingga pihak yayasan tidak mampu membantu kesemuanya tanpa penglibatan pelbagai pihak.

Justeru, majlis berkenaan turut memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami bagaimana dana sumbangan digunakan, selain mengetahui kaedah mereka boleh menyumbang atau menyertai program sukarelawan anjuran Budimas.

Mengulas mengenai pencapaian yayasan itu, Anne memaklumkan lebih 50,000 kanak-kanak menerima manfaat daripada pelbagai program bantuan yang dilaksanakan Budimas setiap tahun.

Malah, sejak penubuhannya pada 1998 hingga 2026, dianggarkan lebih 300,000 kanak-kanak telah mendapat manfaat daripada inisiatif kebajikan yang dijalankan yayasan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau mengakui antara cabaran terbesar dihadapi Budimas adalah meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kesukaran yang dialami golongan kanak-kanak kurang bernasib baik, selain membina kepercayaan penyumbang.

Menurutnya, ketelusan dalam pengurusan dana amat penting kerana orang ramai mahu mengetahui ke mana wang sumbangan mereka disalurkan dan bagaimana ia dimanfaatkan.

Beliau berkata, menerusi penganjuran program seperti majlis makan malam amal, masyarakat dapat memahami dengan lebih dekat kehidupan kanak-kanak yang dibantu termasuk aspek pemakanan, pendidikan dan keperluan harian mereka.

Sementara itu, Yayasan Budimas dalam kenyataannya menyifatkan penganjuran majlis berkenaan sebagai manifestasi semangat kemurahan hati, keprihatinan dan komitmen bersama dalam memastikan kanak-kanak kurang bernasib baik tidak tercicir daripada mendapat peluang untuk membina masa depan lebih cerah.

Menurut yayasan itu, sokongan berterusan daripada penaja, rakan korporat, penderma dan tetamu memainkan peranan penting dalam memperluaskan capaian program bantuan kepada lebih ramai kanak-kanak yang memerlukan.

Yayasan itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis berkenaan, sambil menegaskan bahawa setiap sumbangan dan sokongan mampu membawa perubahan bermakna kepada kehidupan golongan terbabit.

Mengulas perancangan bagi 2027, Anne berkata, pihaknya berhasrat memperluaskan kerjasama strategik dengan kerajaan dan sektor swasta bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat bantuan sewajarnya.

Katanya, kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan memandangkan usaha membantu golongan berkenaan tidak mampu dilaksanakan oleh yayasan itu secara bersendirian.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas sokongan yang diberikan selama ini, khususnya dalam membolehkan pelbagai program kebajikan dilaksanakan.

Pada masa sama, pihaknya berharap lebih banyak syarikat swasta tampil menyumbang bagi membantu membangunkan kemudahan pendidikan termasuk perpustakaan serta memperluaskan program untuk golongan kurang berkemampuan.

Orang ramai yang ingin menyumbang atau mengetahui lebih lanjut mengenai program Yayasan Budimas boleh melayari laman web rasmi yayasan itu di budimas.org. Sumbangan juga boleh dibuat melalui platform berkenaan dengan kemudahan pengecualian cukai tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

+ - reset