TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

691 guru dikenal pasti perlu intervensi psikologi segera - Fadhlina

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 29 Okt – Kementerian Pendidikan (KPM) mengenal pasti seramai 691 guru di seluruh negara memerlukan intervensi segera bagi menangani isu kesejahteraan psikologi selepas menjalani saringan yang dilaksanakan kementerian itu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, jumlah berkenaan dikenal pasti menerusi saringan Inventori Kesejahteraan Psikologi (IKPsi) yang melibatkan keseluruhan 82,126 guru.

Menurutnya, daripada 691 guru terbabit, seramai 636 orang berada pada tahap kesejahteraan psikologi sederhana, 32 pada tahap sederhana rendah manakala 23 lagi pada tahap rendah.

Beliau berkata, jumlah itu mewakili 0.84 peratus daripada keseluruhan guru yang menjalani saringan berkenaan.

Bagaimanapun, majoriti guru atau 99.16 peratus didapati mempunyai tahap kesejahteraan psikologi yang baik, merangkumi 50,869 guru pada tahap tinggi dan 30,566 pada tahap sederhana tinggi.

"Secara keseluruhannya, dapatan ini menunjukkan majoriti guru yang menjalani saringan berada pada tahap kesejahteraan psikologi yang baik, namun KPM akan terus memberikan perhatian dan intervensi kepada guru yang dikenal pasti memerlukan sokongan.

"Bagi membantu guru yang berdepan cabaran berkenaan, KPM melaksanakan pendekatan intervensi secara menyeluruh yang merangkumi aspek pembangunan, pencegahan dan pemulihan melalui perkhidmatan psikologi dan kaunseling.

"Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk kaunseling individu dan kelompok, ujian psikologi, bimbingan dan konsultasi dan program-program pengurusan stres serta sokongan emosi kepada warga KPM," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahya (PN-Sungai Besar) berhubung bilangan guru yang berdepan masalah kesihatan dan kecelaruan mental serta langkah intervensi dan bantuan sokongan yang disediakan kementerian bagi membantu mereka meneruskan kehidupan dan kerjaya.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pendekatan intervensi KPM bermula dengan proses pengesanan dan pengenalpastian keperluan individu sebelum tindakan susulan melalui perkhidmatan psikologi dan kaunseling dilaksanakan.

Katanya, bantuan yang diberikan turut mengambil kira pelbagai faktor yang boleh menjejaskan kesejahteraan guru termasuk masalah kewangan, keterhutangan serius, prestasi kerja dan kesihatan mental.

"Antara langkah intervensi yang dilaksanakan akan berfokus isu dan keperluan individu, merangkumi pengurusan kewangan, keterhutangan serius, prestasi sederhana dan isu berkaitan kesihatan mental.

"Dalam situasi krisis, sokongan diberikan melalui intervensi boleh membantu individu menstabilkan emosi, mengenal pasti kekuatan dan sumber sokongan serta membina pelan tindakan untuk kembali berfungsi.

"Pendekatan KPM bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah semasa, malah turut memperkukuh keupayaan guru untuk mengekalkan kesejahteraan dalam jangka panjang. Usaha ini bertujuan membantu guru kembali stabil dan berfungsi dengan baik serta dapat meneruskan kehidupan dan kerjaya secara lebih berdaya tahan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata, KPM turut memberi perhatian terhadap aspek persekitaran kerja guru menerusi inisiatif menaik taraf bilik guru dengan peruntukan keseluruhan RM200 juta.

Jumlah itu termasuk tambahan peruntukan baharu sebanyak RM100 juta bagi memastikan warga pendidik menikmati kemudahan dan suasana kerja yang lebih selesa serta kondusif.

"Inisiatif ini bertujuan menyediakan ruang kerja yang lebih selesa, kemudahan asas yang lebih baik serta suasana yang kondusif dan profesional untuk menyokong keperluan guru dalam melaksanakan tugas seharian.

"Penyediaan persekitaran kerja yang sesuai bukan sahaja dapat meningkatkan keselesaan dan kemudahan guru, malah turut menyokong kesejahteraan fizikal, emosi dan psikologi guru dalam melaksanakan tanggungjawab secara berkesan.

"Usaha ini selaras dengan pendekatan KPM yang memberi perhatian terhadap aspek kesejahteraan guru secara menyeluruh, termasuk penyediaan persekitaran kerja yang dapat membantu mewujudkan suasana kerja yang positif, harmoni dan menyokong produktiviti serta motivasi guru," katanya.

Beliau menegaskan KPM akan terus memperkukuh perkhidmatan psikologi dan kaunseling selain melaksanakan intervensi berdasarkan keperluan warga pendidikan bagi memastikan kesejahteraan psikologi guru sentiasa terpelihara.

+ - reset