TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sungai Kim Kim tercemar lagi, JAS siasat air sungai bertukar jadi putih

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 29 Okt – Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang pernah menjadi lokasi tragedi pencemaran toksik pada 2019 sekali lagi mencetuskan kebimbangan selepas air sungai berkenaan didakwa bertukar menjadi putih dalam kejadian yang tular di media sosial, semalam.

Susulan kejadian itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca perubahan warna air sungai terbabit yang turut dikaitkan dengan dakwaan pencemaran bau di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang.

Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, pihaknya segera menghantar pegawai ke lokasi sebaik menerima aduan berhubung kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati keadaan sungai sudah kembali normal dan airnya tidak lagi berwarna putih ketika pegawai JAS tiba.

"Apabila sampai di lokasi, sungai sudah tidak berwarna putih lagi. Jadi, kemungkinan kejadian itu berlaku akibat pembuangan bahan ke dalam sungai secara sekali sahaja," katanya.

Menurutnya, JAS Johor akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) untuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang disyaki menjadi lokasi pembuangan bahan pencemar.

Beliau berkata, penelitian rakaman berkenaan bertujuan mengesan pihak yang mungkin bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Tegasnya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pencemaran sungai mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

Terdahulu, seorang pengguna media sosial Threads dikenali sebagai Nasrul Nordin memuat naik beberapa gambar yang didakwa menunjukkan keadaan Sungai Kim Kim bertukar putih.

Lokasi kejadian dipercayai terletak di jalan pintasan yang menghubungkan Taman Pasir Putih dengan Kota Masai, Pasir Gudang.

Kejadian yang dipercayai berlaku semalam itu turut didakwa menjadi punca pencemaran bau yang dikesan di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang sejak malam tadi.

Perkongsian berkenaan mendapat perhatian pengguna media sosial yang melahirkan rasa kesal dan bimbang, khususnya apabila kejadian pencemaran di sungai itu didakwa pernah berlaku beberapa kali sebelum ini.

Mereka turut menggesa pihak berkuasa memperketat pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Untuk rekod, Sungai Kim Kim pernah menjadi tumpuan negara susulan tragedi pencemaran sisa toksik pada 7 Mac 2019 yang menyebabkan lebih 2,000 individu mengalami masalah kesihatan.

Kejadian serius itu turut mengakibatkan sebanyak 111 sekolah di sekitar Pasir Gudang terpaksa ditutup bagi melindungi keselamatan murid dan warga pendidik.

Dalam perkembangan berkaitan, pada 9 September lalu, seramai 171 mangsa tragedi pencemaran Sungai Kim Kim memperoleh pembelaan selepas Mahkamah Tinggi Sivil Johor Bahru memutuskan mereka menang dalam saman sivil terhadap empat defendan.

Pesuruhjaya Kehakiman Manira Mohd Nor turut memerintahkan keempat-empat defendan membayar kos guaman berjumlah RM100,000 kepada semua plaintif.

Empat defendan terbabit ialah syarikat pemprosesan tayar terpakai, P Tech Resources Sdn Bhd; dua pengarah syarikat warga Singapura, Wang Jing Chao, 41, dan Yap Yoke Liang, 43; serta seorang pemandu lori, N Maridass, 42.

+ - reset