TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua warga emas didakwa seret anjing diikat pada motosikal, berdepan denda hingga RM100,000

By
|
Kongsi
image

 

GEORGETOWN 29 Okt - Perbuatan menyeret seekor anjing yang diikat menggunakan rantai besi pada motosikal sehingga menyebabkan haiwan itu mengalami kecederaan membawa dua lelaki ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Lee Beng Hooi dan Yeoh Keat Chye, masing-masing berusia 62 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan menganiaya haiwan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa secara bersama menyeret seekor anjing betina berwarna hitam yang diikat dengan rantai besi pada motosikal di atas permukaan jalan.

Tindakan berkenaan didakwa menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya kepada haiwan terbabit.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lorong belakang deretan rumah teres di Jalan Hijau 4, menghala ke bahagian sisi rumah bernombor 367A, Jalan Tan Sri Teh Ewe Lim, antara jam 6.26 petang hingga 6.30 petang pada 23 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 29(1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Noorfaiz Fikri Nor Azmi dengan dibantu Azhar Ahmad, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam K Mahendran.

Ketika prosiding, Noorfaiz memohon mahkamah menetapkan satu tarikh bagi tujuan penyerahan dokumen berkaitan kes berkenaan.

Sementara itu, Azhar memaklumkan pihak pendakwaan akan memfailkan permohonan di mahkamah untuk melupuskan anjing terbabit mengikut peruntukan Akta Kebajikan Haiwan.

"Ini bagi membolehkan anjing itu ditawarkan untuk diambil sebagai haiwan peliharaan oleh pihak yang difikirkan sesuai oleh jabatan," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Menarik perhatian, anjing yang menjadi mangsa dalam kejadian itu turut dibawa hadir ke mahkamah hari ini.

Haiwan berkenaan yang kini diberi nama Blacky oleh penjaganya dilaporkan sudah pulih daripada kecederaan pada bahagian kaki akibat kejadian tersebut.

Terdahulu, pada 24 September lalu, media melaporkan DVS Pulau Pinang berjaya mengenal pasti dua lelaki yang dirakam dalam sebuah video sedang menyeret seekor anjing hitam di belakang motosikal di Batu Lancang, Jelutong.

Kejadian itu terbongkar selepas seorang orang awam yang menyaksikan perbuatan berkenaan bertindak campur tangan dan meminta kedua-dua lelaki terbabit menghentikannya.

Susulan kejadian itu, penyelamat haiwan bebas, David Yim, tampil membuat laporan rasmi kepada DVS bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Pengarah DVS Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab sebelum ini memaklumkan pegawai jabatan berkenaan segera menjalankan tindakan untuk mengesan kedua-dua lelaki terbabit serta menyelamatkan anjing berkenaan.

+ - reset