TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rundingan gagal, MIPP tarik diri bertanding PRN Melaka atas tiket PN

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 29 Okt – Kegagalan mencapai persetujuan dalam rundingan bersama kepimpinan Perikatan Nasional (PN) menyebabkan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Presidennya, S.P. Punithan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira prinsip perjuangan dan maruah parti yang disifatkan lebih penting berbanding mengejar kerusi pilihan raya.

Menurutnya, MIPP tidak akan sesekali menggadaikan prinsip semata-mata untuk mendapatkan peluang menjadi calon, khususnya apabila kerusi yang ditawarkan dianggap tidak relevan dengan perjuangan parti.

Beliau menegaskan, semangat berpasukan, sikap saling menghormati dan keterangkuman perlu menjadi asas utama dalam membentuk sebuah gabungan politik yang kukuh.

“Sebuah gabungan yang kukuh tidak boleh hanya bergantung pada kekuatan parti-parti tertentu, sebaliknya perlu dibina atas semangat kebersamaan, kepercayaan dan kesediaan untuk menghormati kepentingan setiap parti komponen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Punithan berkata, MIPP kekal dengan pendirian untuk memperjuangkan nasib masyarakat India secara bermaruah dan berprinsip tanpa mengorbankan matlamat asal penubuhan parti.

Katanya, suara serta kepentingan masyarakat India perlu diberikan pengiktirafan dan kedudukan sewajarnya dalam landskap politik negara, termasuk dalam kerjasama antara parti politik.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan kegagalan rundingan bersama PN mencapai kata sepakat memerlukan MIPP membuat keputusan berdasarkan mandat perjuangan yang dipegang parti berkenaan.

“Kerusi boleh dicari, tetapi maruah perjuangan tidak boleh digadaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Punithan menegaskan MIPP bukan sebuah parti yang sanggup berkompromi terhadap prinsip perjuangannya semata-mata demi memperoleh kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya.

Sementara itu, PN dijadualkan mengumumkan senarai calonnya bagi tujuh kerusi yang akan ditandingi pada PRN Melaka malam ini.

Tujuh kerusi berkenaan merupakan baki daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dipersetujui menerusi kerjasama politik antara PN dan Barisan Nasional (BN).

+ - reset