TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ahmad Zahid arah FELCRA tanggung pengajian pelajar 'straight' A SPM, PNGK 4.00 STPM hingga tamat

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 29 Okt – Kekangan kewangan tidak lagi sepatutnya menjadi penghalang kepada anak-anak peserta FELCRA yang cemerlang dalam akademik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan FELCRA Berhad menanggung sepenuhnya yuran pengajian anak-anak peserta yang memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Menurutnya, tajaan penuh itu akan diberikan sehingga mereka menamatkan pengajian sebagai usaha memastikan kecemerlangan akademik generasi muda FELCRA terus mendapat sokongan sewajarnya.

“Saya mengarahkan Pengerusi FELCRA Berhad, ahli dan pengarah, CEO dan pengurusan kanan untuk menanggung sepenuhnya yuran pengajian anak-anak FELCRA sehingga tamat pengajian bagi mereka yang memperoleh semua A dalam SPM dan juga kepada anak-anak FELCRA yang memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2/2026 Projek-Projek Peserta FELCRA Berhad di Dewan Mansor Shah, Melaka International Trade Centre (MITC), di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid berkata, pendidikan dan latihan kemahiran merupakan pelaburan penting dalam membentuk masa depan generasi muda, khususnya bagi membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri.

Katanya, penguasaan ilmu dan kemahiran bukan sahaja membuka peluang pekerjaan lebih luas, malah mampu melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan generasi baharu FELCRA.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara Kolej FELCRA, institusi latihan serta pemain industri dapat terus diperkukuh bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Menurutnya, usaha berkenaan perlu memberikan tumpuan khusus kepada sektor perladangan dan teknologi pertanian yang mempunyai potensi menyediakan peluang pekerjaan dengan pendapatan lebih baik.

“Saya harap mereka yang keluar daripada Kolej ini ataupun institusi TVET FELCRA ini akan diberikan gaji premium, gaji yang melebihi daripada gaji minimum… insya-Allah gaji premium mereka melebihi daripada RM3,000 sebulan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut mengarahkan FELCRA menyediakan bantuan khas kepada peserta dalam kategori B40 yang terlibat dengan program penanaman semula.

Beliau berkata, bantuan berkenaan perlu diberikan khususnya menjelang sambutan Aidilfitri tahun depan bagi membantu peserta yang berdepan kekangan kewangan sepanjang tempoh menunggu tanaman mengeluarkan hasil.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan kebajikan peserta FELCRA terus terpelihara, selain meringankan beban kewangan mereka sementara menunggu hasil daripada projek penanaman semula.

+ - reset