Berita Berita
'Jangan nak 'spin', JCorp tiada ladang di Indonesia' - Onn Hafiz nafi dakwaan terbabit kebakaran hutan
JOHOR BAHRU 29 Okt – Kerajaan Johor menafikan dakwaan yang mengaitkan Johor Corporation (JCorp) dengan kejadian kebakaran hutan di Indonesia, sambil menegaskan institusi pelaburan milik kerajaan negeri itu tidak lagi mempunyai kepentingan dalam operasi perladangan di negara berkenaan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dakwaan kononnya JCorp masih memiliki atau mengendalikan syarikat perladangan yang dikaitkan dengan kebakaran hutan di Indonesia adalah palsu dan mengelirukan.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan memutar belit fakta sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap JCorp.
Menurutnya, kerajaan negeri memandang serius sebarang laporan yang cuba mengaitkan institusi pelaburan berkenaan dengan kejadian kebakaran hutan di negara jiran itu.
“JCorp telah menjelaskan menerusi kenyataan rasmi bahawa JCorp dan syarikat-syarikat dalam kumpulannya tidak memiliki atau mengendalikan sebarang ladang di luar Malaysia.
“Kulim (Malaysia) Berhad, melalui anak syarikatnya, telah melupuskan kepentingan dalam lima syarikat perladangan di Indonesia pada tahun 2007,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Onn Hafiz menjelaskan, Kulim (Malaysia) Berhad turut melupuskan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam dua lagi syarikat di Indonesia pada 6 Julai 2023.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa JCorp tidak mempunyai sebarang kepentingan pemilikan atau penglibatan operasi semasa dalam syarikat perladangan terbabit.
“Semua pihak berhak menuntut ketelusan dan akauntabiliti, tetapi biarlah berlandaskan fakta dan bukti yang sahih,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mempertahankan integriti, kredibiliti dan reputasi Johor daripada sebarang tuduhan yang tidak mempunyai asas kukuh.
Terdahulu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar Indonesia, Wahana Lingkungan Hidup Indonesia (Walhi), menerusi laporan analisis pemetaan bertajuk Actor Mapping Analysis: Who Are Behind the Fires?, mendakwa sebanyak 21 syarikat yang mempunyai kaitan dengan entiti perniagaan Malaysia terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.
Dakwaan itu merujuk kepada kejadian kebakaran yang berlaku antara Januari hingga September tahun ini.
Laporan berkenaan turut menyatakan bahawa analisis data satelit merekodkan sekurang-kurangnya 30,927 titik panas di Indonesia sepanjang tempoh sembilan bulan tersebut.
Daripada jumlah itu, hampir 50 peratus titik panas dilaporkan berada dalam kawasan konsesi syarikat perladangan kelapa sawit dan perhutanan.
Bagaimanapun, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 27 Oktober lalu menjelaskan bahawa hasil pemantauan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mendapati kebakaran tidak bermula di ladang milik syarikat Malaysia.
Sebaliknya, kebakaran berkenaan dilaporkan merebak dari kawasan bersebelahan sebelum menjejaskan kawasan ladang terbabit.
Sebelum itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada 16 Oktober turut memaklumkan bahawa semakan kementeriannya mendapati tiada syarikat perladangan Malaysia terlibat dalam aktiviti pembakaran di Indonesia.
Susulan dakwaan tersebut, JCorp tampil menjelaskan bahawa semua kepentingannya dalam syarikat perladangan di Indonesia telah dilupuskan menerusi urus niaga pada 2007 dan 2023.
Penjelasan itu sekali gus menegaskan pendirian JCorp bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang pemilikan atau penglibatan operasi semasa dalam syarikat yang dikaitkan dengan kejadian kebakaran hutan berkenaan.
Berita berkaitan
October 30, 2026, 2:34 pm
Pasangan kekasih ditahan JAINJ dalam keadaan separuh bogel di tempat letak kenderaan Sri Gading
October 30, 2026, 2:30 pm
Bekas anggota polis bangkit semula laporan dakwaan serangan 2015 terhadap Shuhaily demi keadilan
October 30, 2026, 2:19 pm
Fitnah tunggang agama, tiada tauliah, PU Riz tuntut ganti rugi RM1 juta terhadap pemilik akaun Threads
October 30, 2026, 11:42 am
Situasi jerebu di seluruh negara semakin membaik, tiada kawasan rekod IPU tidak sihat
October 30, 2026, 11:25 am
Lebih 80,000 anjing liar ditangkap sepanjang tahun lalu susulan aduan awam
October 30, 2026, 11:05 am
Pulau Pinang dinobatkan bandar paling mesra bajet di dunia untuk nomad digital
October 30, 2026, 10:42 am
PGA rampas syabu RM434,400, tiga individu ditahan di Batu Pahat dan Muar
October 30, 2026, 10:26 am
Tapir betina 200 kilogram mati dilanggar berhampiran Hutan Simpan Bukit Bauk
October 30, 2026, 9:20 am
