Berita Berita
Bekas anggota polis bangkit semula laporan dakwaan serangan 2015 terhadap Shuhaily demi keadilan
KUALA LUMPUR, 30 Okt. – Tindakan seorang bekas anggota polis membangkitkan semula laporan dakwaan serangan fizikal oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada tahun 2015 dibuat berlandaskan harapan baharu untuk menegakkan keadilan.
Peguam Kamal Hisham Ja'afar dan Muhammad Nor Tamrin menjelaskan bahawa anak guam mereka, Saifuddin Abdul Kader yang ketika itu bertugas sebagai anggota berpangkat rendah, tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang hasil siasatan, tindakan tatatertib mahupun pertuduhan jenayah berhubung aduan berkenaan.
Kenyataan rasmi itu dikeluarkan bagi menjawab persoalan yang dikemukakan oleh peguam Rafique Rashid Ali berhubung punca laporan polis yang didaftarkan lebih sedekad lalu baru kini ditimbulkan semula oleh pengadu.
Menurut barisan peguam terbabit, tiada sebarang had masa dalam undang-undang yang menghalang sesuatu kes jenayah daripada diteruskan, manakala harapan Saifuddin untuk mendapatkan keadilan kembali bertunas selepas Mohd Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pihak peguam turut mendakwa bahawa sebelum pendakwaan di Sepang itu berlaku, Mohd Shuhaily dipandang sebagai seorang tokoh yang berkuasa dan menggerunkan, sekali gus menafikan tindakan anak guam mereka didorong oleh sebarang niat jahat.
Saifuddin juga ditegaskan tidak pernah menarik balik laporan polis asal yang dibuatnya pada 19 November 2015 atau melepaskan hak undang-undangnya, sebaliknya menggesa campur tangan Peguam Negara untuk membuat semakan semula serta menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada budi bicara pihak pendakwaan.
Berdasarkan laporan polis berkenaan, insiden didakwa berlaku pada 17 November 2015 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak ketika Mohd Shuhaily menjawat jawatan Ketua Polis Daerah, di mana beliau didakwa menumbuk pergelangan tangan kiri Saifuddin akibat tidak memberi tabik hormat sewaktu bertugas sebagai pengawal, selain turut diugut dengan tindakan tatatertib serta pertukaran tugas ke Sabah atau Sarawak.
Berita berkaitan
October 30, 2026, 2:34 pm
Pasangan kekasih ditahan JAINJ dalam keadaan separuh bogel di tempat letak kenderaan Sri Gading
October 30, 2026, 2:19 pm
Fitnah tunggang agama, tiada tauliah, PU Riz tuntut ganti rugi RM1 juta terhadap pemilik akaun Threads
October 30, 2026, 11:42 am
Situasi jerebu di seluruh negara semakin membaik, tiada kawasan rekod IPU tidak sihat
October 30, 2026, 11:25 am
Lebih 80,000 anjing liar ditangkap sepanjang tahun lalu susulan aduan awam
October 30, 2026, 11:05 am
Pulau Pinang dinobatkan bandar paling mesra bajet di dunia untuk nomad digital
October 30, 2026, 10:42 am
PGA rampas syabu RM434,400, tiga individu ditahan di Batu Pahat dan Muar
October 30, 2026, 10:26 am
Tapir betina 200 kilogram mati dilanggar berhampiran Hutan Simpan Bukit Bauk
October 30, 2026, 9:20 am
Anwar arah Anthony Loke, Rapid KL selesaikan isu kesesakan perkhidmatan tren
October 29, 2026, 11:14 pm
