TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Fitnah tunggang agama, tiada tauliah, PU Riz tuntut ganti rugi RM1 juta terhadap pemilik akaun Threads

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Okt – Pendakwah selebriti dan pelakon, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta daripada seorang pemilik akaun Threads yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya di media sosial.

Tindakan itu diambil susulan beberapa hantaran yang didakwa melabelkan suami kepada selebriti Neelofa itu sebagai 'penunggang agama', selain menuduhnya mengajar agama tanpa tauliah sah.

Peguam yang mewakili PU Riz, Faizal Rahman berkata, surat tuntutan (LOD) sudah diserahkan kepada individu terbabit menerusi e-mel dan aplikasi WhatsApp pada petang semalam.

Menurutnya, pihak terbabit diberikan tempoh 48 jam untuk memenuhi lima tuntutan yang dikemukakan sebelum tindakan saman fitnah diteruskan di mahkamah.

"Surat tuntutan (LOD) sudah diserahkan kepada penama akaun terbabit petang semalam menerusi e-mel dan aplikasi WhatsApp.

"Kami memberikan tempoh 48 jam kepada individu berkenaan untuk memadamkan hantaran fitnah itu, mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, berhenti memuat naik perkara berkaitan Haris di mana-mana platform, buat jaminan untuk tidak menyebut lagi dan bayar pampasan.

"Sekiranya pihak terbabit gagal memenuhi tuntutan dalam tempoh yang ditetapkan, kita tidak teragak-agak untuk meneruskan tindakan saman fitnah di mahkamah.

"Dalam surat tuntutan itu, pihak kami menuntut pampasan ganti rugi bernilai RM1 juta atas kerosakan reputasi serta fitnah berpanjangan yang dilemparkan kepada anak guam saya," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut pada sidang media di pejabatnya, Faizal mendakwa pemilik akaun Threads berkenaan telah memanipulasi isu pemulangan wang melibatkan sebuah acara di Johor sehingga hantaran tersebut meraih 9.2 juta tontonan.

Beliau mendakwa individu sama turut memuat naik tangkap layar berkaitan isu lama serta perkara yang melibatkan pihak lain bagi mengaitkan PU Riz dengan gelaran 'penunggang agama'.

Menurutnya, tuduhan sedemikian memberi kesan serius terhadap reputasi anak guamnya yang mempunyai latar belakang pendidikan agama serta tauliah mengajar yang sah.

"Istilah 'penunggang agama' ini adalah satu label yang sangat berat apabila dilemparkan kepada individu yang mempunyai tauliah serta latar belakang pendidikan agama yang sah.

"Setakat pagi ini, hantaran itu masih belum diturunkan dan kami belum menerima sebarang maklum balas daripada individu terbabit," katanya.

Terdahulu, PU Riz dan isterinya, Neelofa menjadi perhatian selepas sebuah acara yang dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober lalu dibatalkan.

Kontroversi tercetus apabila pasangan berkenaan didakwa menawarkan penebusan semula bayaran kepada peserta dalam bentuk selain wang tunai.

Isu itu kemudian mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, termasuk hantaran yang didakwa memanipulasi kontroversi berkenaan sehingga mendorong PU Riz mengambil tindakan undang-undang.

+ - reset