Berita Berita
'Boleh kerja, sekolah' - Program DPP hanya untuk pelarian masuk Malaysia sebelum 1 Januari 2023, bukan tiket tambah pelarian baharu - KDN
PUTRAJAYA 30 Okt – Kerajaan menegaskan Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bukan laluan untuk warga asing memperoleh status Penduduk Tetap (PR) atau kewarganegaraan Malaysia, sebaliknya bertujuan mengurus dan memantau pelarian yang sudah berada di negara ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, hanya individu yang berada di Malaysia sebelum 1 Januari 2023 layak dipertimbangkan untuk menyertai program berkenaan.
Menurut kementerian itu, penetapan tarikh kelayakan tersebut bertujuan memastikan pelaksanaan DPP tidak disalah anggap sebagai galakan kepada kemasukan pelarian baharu.
Malah, individu yang memasuki Malaysia selepas tarikh berkenaan tidak layak dipertimbangkan walaupun memiliki kad atau surat daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“DPP juga bukan galakan atau faktor penarik kepada pelarian baharu untuk memasuki Malaysia. Kerajaan menetapkan 1 Januari 2023 sebagai tarikh akhir kelayakan, iaitu hanya individu yang telah berada di Malaysia sebelum tarikh tersebut boleh dipertimbangkan untuk menyertai program ini.
“Mereka yang memasuki negara selepas tarikh berkenaan tidak layak dipertimbangkan di bawah DPP. Pemilikan Kad atau Surat UNHCR juga tidak memberikan kelayakan secara automatik,” menurut kenyataan KDN.
KDN menjelaskan, DPP yang mula dilaksanakan pada 1 Januari 2026 bertujuan mengenal pasti, menyaring, mendokumentasikan serta memantau keberadaan pelarian sedia ada di Malaysia.
Program itu dilaksanakan sementara kerajaan meneruskan usaha menghantar pulang pelarian ke negara asal atau menempatkan mereka semula di negara ketiga.
Dalam pada itu, kementerian berkenaan menjelaskan bahawa sebarang akses pekerjaan kepada pemegang DPP hanya diberikan secara sementara, terhad dan tertakluk kepada syarat serta kelulusan kerajaan.
Menurut KDN, kebenaran bekerja bukan diberikan secara automatik, sebaliknya hanya kepada individu yang memenuhi kriteria ditetapkan.
Peluang pekerjaan berkenaan turut dihadkan kepada sektor dan jenis pekerjaan tertentu, khususnya pekerjaan bercirikan 3D iaitu kotor, berbahaya dan sukar yang kurang mendapat penyertaan tenaga kerja tempatan.
KDN menegaskan bahawa keutamaan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia tetap dipelihara selaras dengan dasar penggajian pekerja asing serta kepentingan keselamatan negara.
Mengulas lanjut, kementerian itu menjelaskan isu pelarian merupakan masalah berpanjangan yang telah berlaku sejak beberapa dekad lalu dan memberikan cabaran besar kepada negara.
Antara cabaran utama termasuk kesan terhadap ekonomi, sosial, keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang.
“Isu pelarian adalah masalah legasi yang berlarutan selama beberapa dekad dan membawa cabaran besar kepada negara dari sudut ekonomi, sosial, keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang.
“KDN turut berdepan tekanan terhadap kapasiti depot tahanan imigresen, kos pengurusan yang meningkat serta risiko kesihatan dan keselamatan akibat kesesakan.
“Keadaan ini menuntut Kerajaan melaksanakan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berkesan. Melalui DPP yang mula dilaksanakan pada 1 Januari 2026, kerajaan mengambil alih fungsi pendaftaran dan penentuan status pelarian yang sebelum ini dilaksanakan secara unilateral oleh UNHCR,” menurut kenyataan KDN.
Sehubungan itu, KDN menegaskan pelaksanaan DPP merupakan langkah kerajaan untuk memperkukuh pengurusan pelarian secara lebih tersusun dan berkesan.
Kementerian itu turut menjelaskan bahawa pemberian akses pekerjaan secara bersyarat kepada pemegang DPP tidak mengubah matlamat kerajaan untuk memastikan pelarian dihantar pulang ke negara asal atau ditempatkan semula ke negara ketiga.
Usaha berkenaan akan diteruskan menerusi kerjasama antara KDN dengan Kementerian Luar (KLN), termasuk mendapatkan kerjasama negara asal dan negara ketiga bagi membolehkan penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.
KDN turut menegaskan bahawa keselamatan negara, kedaulatan undang-undang serta kepentingan rakyat Malaysia akan terus menjadi keutamaan kerajaan dalam mengurus isu pelarian di negara ini.
Berita berkaitan
October 30, 2026, 2:34 pm
Pasangan kekasih ditahan JAINJ dalam keadaan separuh bogel di tempat letak kenderaan Sri Gading
October 30, 2026, 2:30 pm
Bekas anggota polis bangkit semula laporan dakwaan serangan 2015 terhadap Shuhaily demi keadilan
October 30, 2026, 2:19 pm
Fitnah tunggang agama, tiada tauliah, PU Riz tuntut ganti rugi RM1 juta terhadap pemilik akaun Threads
October 30, 2026, 11:42 am
Situasi jerebu di seluruh negara semakin membaik, tiada kawasan rekod IPU tidak sihat
October 30, 2026, 11:25 am
Lebih 80,000 anjing liar ditangkap sepanjang tahun lalu susulan aduan awam
October 30, 2026, 11:05 am
Pulau Pinang dinobatkan bandar paling mesra bajet di dunia untuk nomad digital
October 30, 2026, 10:42 am
PGA rampas syabu RM434,400, tiga individu ditahan di Batu Pahat dan Muar
October 30, 2026, 10:26 am
Tapir betina 200 kilogram mati dilanggar berhampiran Hutan Simpan Bukit Bauk
October 30, 2026, 9:20 am
