TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Melaka: Rafizi ramai pengundi atas pagar jadi penentu, sokongan parti utama belum cukup kukuh

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 Okt – Kelompok pengundi atas pagar yang dianggarkan merangkumi 25 hingga 30 peratus pengundi dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.

Pemimpin Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, berdasarkan anggarannya, sokongan tegar terhadap gabungan politik utama masih belum cukup besar untuk menjamin kemenangan tanpa sokongan kelompok pengundi berkenaan.

Menurutnya, penyokong tegar Barisan Nasional (BN) dianggarkan sekitar 20 hingga 21 peratus, diikuti Pakatan Harapan (PH) antara 18 hingga 19 peratus dan Perikatan Nasional (PN) sekitar 17 hingga 18 peratus.

Beliau turut menganggarkan BERSAMA mempunyai sokongan sekitar 10 peratus.

"Secara keseluruhannya, jumlah gabungan penyokong tegar kesemua parti berkenaan hanya sekitar 70 peratus.

"Berdasarkan pengiraan ini, baki kira-kira 25 hingga 30 peratus adalah pengundi atas pagar.

"Ini hususnya dalam kalangan pengundi Melayu, sekali gus muncul sebagai kuasa penentu mutlak yang boleh memberi kemenangan kepada sesebuah gabungan," katanya dalam episod terbaharu program audio siar Yang Berhenti Menteri (YBM).

Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, kecenderungan pengundi atas pagar, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu, sering berubah berdasarkan isu dan sentimen politik semasa.

Beliau mengambil contoh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila isu kos sara hidup, pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta isu kepimpinan UMNO mempengaruhi perubahan sokongan pengundi.

Menurut analisisnya, faktor berkenaan menyebabkan lebih 20 peratus pengundi Melayu beralih memberikan sokongan kepada PH ketika itu.

Bagaimanapun, beliau berpandangan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran PH kemudiannya menyumbang kepada perubahan kecenderungan kelompok majoriti senyap yang beralih kepada PN pada 2022.

Katanya, perubahan tersebut lebih didorong keinginan pengundi untuk mencuba alternatif politik baharu dan bukannya disebabkan peningkatan mendadak jumlah penyokong tegar PAS.

Mengulas landskap politik menjelang PRN Melaka, Rafizi berpendapat sentimen 'penyatuan ummah' masih mempunyai pengaruh dalam kalangan pengundi atas pagar Melayu susulan pertelagahan politik yang berpanjangan.

Pada masa sama, beliau mendakwa isu tatakelola dan integriti yang sering diketengahkan PH semakin kurang memberikan kesan terhadap sentimen pengundi.

"Sebaliknya, senjata isu tatakelola, 'sakau' dan integriti yang cuba dicanang oleh PH disifatkan semakin tumpul serta gagal menyentuh emosi pengundi.

"Pengundi atas pagar dilihat mula menganggap semua parti politik terpalit dengan isu sama berikutan timbulnya pelbagai kontroversi dan isu integriti kebelakangan ini," katanya.

Sementara itu, Rafizi berkata, perubahan dalam hubungan antara parti politik turut berpotensi mempengaruhi pertimbangan pengundi bukan Melayu.

Beliau berpandangan layanan UMNO terhadap MCA dalam BN boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi Cina dan India, sekali gus mengingatkan mereka kepada faktor yang pernah mendorong penolakan terhadap gabungan berkenaan.

Dalam masa sama, beliau menyentuh kesediaan PKR dan AMANAH membuka ruang kerjasama dengan parti berteraskan Melayu seperti BERSATU.

"Ini termasuk keputusan menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban seperti diumumkan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari.

"Keputusan itu menimbulkan persoalan berterusan mengenai ketetapan prinsip pakatan berkenaan.

"Keadaan itu turut membuka kemungkinan penjajaran semula politik pada masa hadapan antara gabungan-gabungan utama," katanya.

Mengulas kedudukan BERSAMA, Rafizi mendakwa parti itu menerima pandangan positif daripada sebahagian pengundi atas pagar berdasarkan imej pemimpinnya yang dilihat rajin, konsisten dan memberikan perkhidmatan tanpa mengejar kuasa.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa persepsi positif tersebut belum tentu diterjemahkan kepada sokongan undi sebenar.

Menurutnya, tahap sokongan terhadap BERSAMA hanya dapat dinilai dengan lebih tepat selepas pengumuman calon dan perjalanan kempen selama seminggu.

Rafizi turut berpandangan bahawa parti yang bertanding perlu mengimbangi isu dasar serta pendirian politik di peringkat nasional dengan tawaran khusus kepada rakyat Melaka menerusi manifesto masing-masing.

Sebelum ini, beliau dilaporkan mengumumkan hasrat BERSAMA untuk bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka kali ini.

+ - reset