TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Memalukan status Kluang bahagia!' - Lapan skrin LED di Kluang digodam tayang video lucah, polis buka dua kertas siasatan

By
|
Kongsi
image

 

KLUANG 30 Okt – Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian pencerobohan sistem paparan diod pemancar cahaya (LED) milik Majlis Perbandaran Kluang (MPK) sehingga menyebabkan kandungan video lucah ditayangkan pada beberapa skrin di sekitar daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sebanyak lapan skrin LED yang dipasang di sekitar Kluang dipercayai telah digodam pihak tidak bertanggungjawab.

“Laporan itu antara lain berkaitan sistem skrin LED yang memaparkan kandungan berunsur lucah.

“Hasil siasatan awal mendapati pengadu dimaklumkan kakitangannya bahawa lapan skrin yang dipasang di sekitar Kluang digodam semalam.

“Pengadu kemudian menerima beberapa kiriman menerusi aplikasi WhatsApp yang memaparkan rakaman tangkap layar dan video kandungan lucah pada skrin LED terbabit.

“Susulan kejadian itu, pengadu menghubungi pihak pembekal untuk mendapatkan pengesahan sebelum mengambil tindakan memutuskan bekalan kuasa bagi menghentikan paparan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Bahrin berkata, susulan laporan diterima, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian berkenaan.

“Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, MPK mengesahkan sistem paparan LED miliknya telah diceroboh penggodam sehingga menyebabkan video berunsur lucah dipaparkan kepada orang awam.

Pihak berkuasa tempatan itu turut memohon maaf atas kesulitan dan kebimbangan yang timbul dalam kalangan masyarakat Kluang susulan insiden berkenaan.

Kejadian itu sebelum ini menjadi perhatian selepas rakaman beberapa skrin LED milik MPK yang menayangkan video lucah tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp, semalam.

+ - reset