TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Tak ada syarat sokong kerajaan’ - Anwar jamin ada peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 Okt – Ahli Parlimen pembangkang tidak perlu menyatakan sokongan kepada kerajaan sebagai syarat untuk menerima peruntukan menerusi pelaksanaan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pemberian peruntukan berkenaan tidak tertakluk kepada sebarang syarat sokongan politik terhadap pentadbiran Kerajaan MADANI.

Menurutnya, peruntukan itu boleh disalurkan sebaik sahaja Belanjawan 2027 mendapat kelulusan Parlimen, selaras dengan persefahaman yang dicapai antara kerajaan dan wakil rakyat terbabit.

“Dia tak ada syarat kepada mana-mana Ahli Parlimen, tak ada syarat,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan CSA MADANI yang menjadi perhatian susulan persoalan berhubung syarat pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Mengulas dakwaan bahawa persefahaman berkenaan boleh ditafsirkan sebagai peringatan kepada parti komponen pembangkang supaya tidak menarik sokongan terhadap kerajaan, Anwar mengakui tafsiran politik sedemikian tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kerjasama dan persefahaman antara kerajaan dengan pembangkang bukan sesuatu yang luar biasa dalam sistem demokrasi.

“Ya, ini tafsiran politik tu tak boleh kita pertikai, memang akan berlaku tetapi saya nak beritahu ini bukan suatu yang janggal.

“Persefahaman ini berlaku dalam banyak negara demokrasi, tetapi dalam pengalaman di Malaysia memang ada perundingan dahulu,” katanya.

Anwar turut mengimbas pelaksanaan mekanisme hampir sama ketika beliau memegang jawatan Ketua Pembangkang sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, rundingan ketika itu membabitkan wakil Pakatan Harapan (PH) bersama wakil parti kerajaan termasuk Bersatu, PAS, UMNO dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau menegaskan, pendekatan yang digunakan ketika ini bukan peraturan baharu yang diperkenalkan pentadbirannya, sebaliknya mempunyai asas daripada amalan kerajaan terdahulu.

“Ini bukan peraturan kita sekarang. Peraturan diguna pakai oleh kerajaan dulu yang disertai oleh Bersatu dan PAS… dan tentunya Barisan Nasional,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tempoh penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, Anwar menjelaskan proses berkenaan boleh dilaksanakan tanpa perlu menunggu lama selepas Belanjawan 2027 diluluskan.

“Dia sebaik sahaja lulus Parlimen dan kita boleh salur segera,” katanya.

+ - reset