TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPT benarkan PdP dalam talian, hibrid untuk semua IPTA selama sembilan hari sempena Deepavali

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 Okt – Pelajar dan tenaga pengajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diberi kelonggaran untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid selama sembilan hari bermula 5 hingga 13 November ini sempena sambutan Deepavali.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, kemudahan berkenaan turut melibatkan universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.

Menurut kementerian itu, langkah berkenaan bertujuan memberikan peluang kepada pelajar serta tenaga pengajar untuk pulang ke kampung halaman dan meluangkan masa bersama keluarga sempena perayaan tersebut.

Bagaimanapun, KPT menjelaskan pelaksanaan PdP secara dalam talian dan hibrid sepanjang tempoh berkenaan perlu mengambil kira kesesuaian serta keperluan program akademik di institusi masing-masing.

Katanya, perkara itu penting bagi memastikan perjalanan sesi pembelajaran dan aktiviti akademik dapat diteruskan dengan lancar tanpa menjejaskan kualiti pendidikan.

“Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan KPT terhadap kebajikan warga pendidikan tinggi, di samping meraikan kepelbagaian budaya dan agama yang menjadi asas keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

“KPT turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali 2026 kepada seluruh pelajar, tenaga akademik, warga KPT serta rakyat Malaysia yang beragama Hindu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

+ - reset