Berita Berita
JMB tidak boleh larang penghuni bela haiwan, bekas atlet Olimpik menang kes pertahan tiga kucing
SHAH ALAM 30 Okt – Badan Pengurusan Bersama (JMB) tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan larangan menyeluruh tanpa syarat terhadap pemeliharaan haiwan peliharaan di unit kediaman persendirian hanya berdasarkan peraturan dalaman.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa sebarang tindakan terhadap pemilik haiwan peliharaan perlu berasaskan bukti kukuh yang menunjukkan haiwan terbabit menyebabkan gangguan, bahaya atau melanggar peruntukan undang-undang berkaitan.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Anita Harun yang membenarkan sebahagian permohonan bekas atlet Olimpik, Noraseela Mohd Khalid terhadap Badan Pengurusan Bersama (JMB) Condominium Shang Villa.
Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal yang mewakili Noraseela berkata, mahkamah mengisytiharkan Peraturan Dalaman 9.0 tidak boleh digunakan untuk menghalang anak guam mereka daripada memelihara tiga ekor kucing di unit kediamannya.
"Mahkamah memutuskan kehadiran haiwan peliharaan di unit kediaman semata-mata tidak, dengan sendirinya, membentuk satu pelanggaran peraturan dalaman," kata mereka dalam kenyataan hari ini.
Menurut peguam terbabit, tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik haiwan perlu mematuhi Undang-Undang Kecil 14, Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyelenggaraan dan Pengurusan) 2015.
Katanya, tindakan sedemikian mesti disokong bukti yang mengaitkan haiwan tertentu dengan dakwaan kacau ganggu, bahaya atau keadaan lain yang dilarang di bawah peraturan berkenaan.
"Mahkamah memutuskan, aduan secara umum mengenai haiwan, adalah tidak mencukupi. Mahkamah mendapati bukti yang ada, tidak membuktikan kucing Noraseela bertanggungjawab atas insiden dibangkitkan JMB.
"Bukti daripada jiran menyokong kenyataan beliau bahawa kucing itu dijaga dengan baik dan sijil veterinar turut menyokong kesihatan baik haiwan berkenaan," kata peguam terbabit.
Selain itu, mahkamah turut mengisytiharkan sebahagian Peraturan Dalaman 9.0 sebagai tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.
Peruntukan yang dipertikaikan itu membenarkan haiwan dialihkan dari kawasan harta bersama tanpa merujuk kepada pemiliknya, selain mengecualikan pihak pengurusan daripada liabiliti terhadap sebarang kerugian yang berlaku.
Bagaimanapun, mahkamah mengiktiraf bahawa penggunaan perkataan "boleh" dalam Undang-Undang Kecil 14 memberikan ruang kepada pihak pengurusan mengambil tindakan pencegahan sekiranya terdapat asas fakta yang munasabah.
Namun, tindakan tersebut tidak boleh dibuat semata-mata berdasarkan andaian atau aduan umum tanpa bukti yang menyokongnya.
"Keputusan ini mengesahkan bahawa JMB tidak berada di atas undang-undang. Peraturan dalaman tidak boleh digunakan untuk mengetepikan perlindungan statutori atau mewujudkan kuasa yang tidak diberikan oleh perundangan.
"Undang-undang mengawal kelakuan yang tidak bertanggungjawab. Ia tidak memberi kuasa untuk membezakan atau mendiskriminasi pemilik haiwan peliharaan yang bertanggungjawab.
"Aduan sah berhubung haiwan mesti ditangani dan keputusan ini tidak menghalang perkara berkenaan, namun pihak pengurusan mesti bertindak berasaskan bukti, bukannya atas andaian bahawa setiap haiwan peliharaan itu adalah satu kacau gangguan," kata mereka.
Menurut peguam berkenaan, keputusan mahkamah itu turut memperjelaskan bahawa kuasa badan pengurusan tertakluk kepada Akta Pengurusan Strata 2013 serta undang-undang kecil yang ditetapkan.
Mereka menegaskan, keputusan yang disokong majoriti penghuni tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan perlindungan undang-undang yang diberikan kepada pemilik unit kediaman secara individu.
Terdahulu, Noraseela yang juga bekas pelari berpagar kebangsaan memfailkan saman dengan mempertikaikan kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengenakan larangan menyeluruh terhadap pemilikan haiwan peliharaan di pangsapuri.
Beliau turut mencabar keabsahan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MBPJ 2007 yang didakwanya bercanggah dengan undang-undang Persekutuan.
Dalam tuntutannya, Noraseela mendakwa Seksyen 8(2) yang melarang penduduk memelihara anjing di unit pangsapuri dalam kawasan pentadbiran MBPJ melangkaui bidang kuasa yang diberikan kepada pihak berkuasa tempatan.
Beliau berhujah bahawa peruntukan itu bertentangan dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Pengurusan Strata, selain menjejaskan hak penduduk untuk menggunakan serta menikmati harta kediaman mereka sepenuhnya.
Noraseela turut mendakwa tiada bukti menunjukkan anjing atau haiwan peliharaan lain menyebabkan gangguan mahupun kerosakan kepada jiran tetangga.
Berita berkaitan
October 30, 2026, 6:42 pm
CSA: 'Politik ada tempat dan waktunya, kini masa bangunkan negara’ – Yuneswaran
October 30, 2026, 6:13 pm
Tak gelap mata, lelaki serah RM19,300 ditemui di lokasi kemalangan kepada polis
October 30, 2026, 5:49 pm
KPT benarkan PdP dalam talian, hibrid untuk semua IPTA selama sembilan hari sempena Deepavali
October 30, 2026, 5:37 pm
Warga emas maut digilis bas ketika melintas jalan menuju terminal bas di Kuala Terengganu
October 30, 2026, 5:26 pm
‘Tak ada syarat sokong kerajaan’ - Anwar jamin ada peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang
October 30, 2026, 5:11 pm
