Berita Berita
CSA: 'Politik ada tempat dan waktunya, kini masa bangunkan negara’ – Yuneswaran
KUALA LUMPUR 30 Okt – Kesediaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memeterai Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai perkembangan yang perlu dinilai berdasarkan kepentingan rakyat dan kestabilan politik negara.
Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran berkata, kerjasama antara kerajaan dan pembangkang menerusi CSA berpotensi mewujudkan suasana politik lebih stabil, sekali gus membolehkan pentadbiran negara memberikan tumpuan kepada agenda pembangunan.
Menurutnya, tawaran CSA kepada parti pembangkang bukan pendekatan baharu kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menunjukkan keterbukaan terhadap kerjasama sedemikian sejak awal pentadbiran Kerajaan Madani.
"Bagaimanapun, selepas hampir empat tahun, hanya kini sebuah parti pembangkang, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tampil menyatakan kesediaan untuk memeterai CSA dengan Kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Yuneswaran berkata, perkembangan itu wajar dilihat dalam konteks kepentingan rakyat, kestabilan politik dan kelangsungan pentadbiran negara, bukannya semata-mata berdasarkan persaingan antara parti.
Beliau berpandangan, langkah berkenaan turut mencerminkan keterbukaan Kerajaan Madani untuk membina kerjasama politik yang lebih progresif dengan mengetepikan perbezaan ideologi dan kepentingan politik sempit.
"Dalam sebuah negara yang sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi dan tuntutan pembangunan, kestabilan politik merupakan antara prasyarat penting untuk memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat," katanya.
Menurutnya, Malaysia tidak seharusnya terus dibelenggu polemik politik berpanjangan sehingga mengalihkan perhatian daripada tanggungjawab utama kerajaan untuk mentadbir negara dan memenuhi harapan rakyat.
Katanya, meskipun persaingan politik merupakan sebahagian daripada proses demokrasi, semua pihak perlu memahami bahawa terdapat masa untuk berpolitik dan masa untuk mengutamakan pembangunan negara.
"Keutamaan juga perlu diberikan kepada usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan, meningkatkan peluang pekerjaan dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," katanya.
Dalam pada itu, Yuneswaran menegaskan bahawa perbezaan pendirian politik tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada usaha menjalin kerjasama dalam perkara yang memberikan manfaat kepada negara.
Beliau berkata, keupayaan pemimpin menyelesaikan masalah rakyat seharusnya menjadi ukuran utama dalam menilai keberkesanan sesebuah kepimpinan, bukannya persaingan politik semata-mata.
"Akhirnya, rakyat tidak menilai kita berdasarkan sejauh mana kita berpolitik, tetapi berdasarkan sejauh mana kita mampu menyelesaikan masalah mereka dan membawa negara ke arah masa depan yang lebih baik," katanya.
Berita berkaitan
October 30, 2026, 7:28 pm
JMB tidak boleh larang penghuni bela haiwan, bekas atlet Olimpik menang kes pertahan tiga kucing
October 30, 2026, 6:13 pm
Tak gelap mata, lelaki serah RM19,300 ditemui di lokasi kemalangan kepada polis
October 30, 2026, 5:49 pm
KPT benarkan PdP dalam talian, hibrid untuk semua IPTA selama sembilan hari sempena Deepavali
October 30, 2026, 5:37 pm
Warga emas maut digilis bas ketika melintas jalan menuju terminal bas di Kuala Terengganu
October 30, 2026, 5:26 pm
‘Tak ada syarat sokong kerajaan’ - Anwar jamin ada peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang
October 30, 2026, 5:11 pm
