TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

6.5 tan ayam mati direndam air panas sebelum disembelih, polis tahan 12 warga asing dalam gudang di Puchong

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 30 Oktober – Kegiatan sebuah premis memproses ayam yang disyaki tidak mematuhi hukum syarak terbongkar selepas pemeriksaan mendapati ayam dipercayai mati akibat direndam dalam air panas sebelum disembelih.

Perkara itu dikesan menerusi serbuan Ops Taring Chiller di sebuah gudang di Puchong, Selangor, pada jam 12.40 tengah malam tadi yang membawa kepada rampasan lebih 6.5 tan ayam mentah bernilai RM85,400.

Seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan turut ditahan.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, premis berkenaan disyaki menjalankan aktiviti penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa memiliki sijil halal yang sah.

Menurutnya, pemeriksaan awal turut menemukan kaedah pengendalian dan penyembelihan ayam yang menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak serta status halal produk terbabit.

"Pemeriksaan mendapati ayam dipercayai melalui proses rendaman air panas sehingga mati sebelum proses penyembelihan dilakukan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaki berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pejabat Kesihatan Petaling.

"Kesemua 6.5 tan ayam mentah di dalam 468 bungkus plastik itu dianggar bernilai RM85,400.

"Bekalan diperoleh dari beberapa ladang ayam di sekitar Sepang, manakala ayam yang sudah diproses dipercayai diedar kepada pelanggan termasuk kedai makan, kedai runcit dan pasar raya sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pelanggaran undang-undang berkaitan status halal dan pengurusan alam sekitar di premis terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(A) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sementara itu, kesemua warga asing yang ditahan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

+ - reset