Berita Berita
Tragedi Nepal-Tibet: PERKESO mula hubungi waris, bayaran dijangka 4 November ini
KUALA LUMPUR 30 Okt - Waris rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi banjir Nepal-Tibet dijangka menerima bayaran daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) seawal 4 November ini susulan usaha mempercepatkan urusan dokumentasi dan pengesahan kelayakan penerima.
Penyelaras dan Jurucakap Solidariti Malaysia: Keluarga Dalam Harapan (MASFIH), Dr Manivannan Rethinam berkata, perkembangan positif itu dimaklumkan kepada beberapa keluarga yang sudah dihubungi PERKESO bagi melengkapkan dokumen sokongan sebelum pembayaran dibuat.
Menurutnya, PERKESO mula menghubungi waris yang dikenal pasti layak menerima bayaran sejak Khamis lalu melalui pelbagai saluran termasuk nombor telefon sedia ada, pihak majikan dan media sosial.
"Susulan pertemuan bersama YB Menteri Sumber Manusia (KESUMA) pada hari Rabu, pihak PERKESO telah mula menghubungi waris individu yang dikenal pasti layak menerima bayaran sejak semalam, 29 Okt 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Manivannan berkata, MASFIH turut memainkan peranan membantu mempercepatkan proses berkenaan dengan menyelaras maklumat perhubungan waris selepas menerima maklum balas mengenai beberapa masalah komunikasi pada peringkat awal.
"Susulan maklum balas yang diterima daripada beberapa ahli keluarga, saya telah menghubungi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PERKESO untuk membangkitkan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata, susulan perbincangan itu, pihaknya menerima senarai individu yang dikenal pasti layak menerima bayaran daripada PERKESO untuk tujuan penyelarasan lanjut.
Katanya, MASFIH kemudian mengemas kini maklumat waris termasuk nombor telefon dan butiran perhubungan sebelum menyerahkannya semula kepada agensi berkenaan.
Langkah itu membantu melancarkan komunikasi antara PERKESO dengan keluarga terlibat, sekali gus membolehkan urusan dokumentasi serta pembayaran disegerakan.
Dalam perkembangan berkaitan, MASFIH masih menunggu keputusan kerajaan berhubung cadangan Bantuan Khas Kewangan kepada 54 keluarga rakyat Malaysia yang terkesan akibat tragedi banjir Nepal-Tibet.
Manivannan berharap perkara itu mendapat perhatian dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan menghasilkan keputusan positif bagi meringankan beban keluarga mangsa.
Beliau turut berharap sebarang keputusan kerajaan akan disusuli pengumuman rasmi serta tindakan konkrit supaya bantuan dapat disalurkan kepada keluarga yang memerlukan.
MASFIH, katanya, akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi memantau perkembangan serta memastikan kebajikan semua keluarga terlibat sentiasa diberi perhatian.
Berita berkaitan
October 31, 2026, 5:36 pm
'Jangan lepas pekerja sewenang-wenangnya', Fahmi sedia bantu syarikat media terjejas kewangan
October 31, 2026, 2:54 pm
PRN Melaka: SPR sahkan 79 calon bertanding di Melaka
October 31, 2026, 11:20 am
Hujan lebat, ribut petir di beberapa negeri bermula hujung minggu ini
October 31, 2026, 10:37 am
PRN Melaka: 28 pusat penamaan calon ditutup 10 pagi
October 31, 2026, 9:13 am
PRN Melaka: Pusat Penamaan Calon dibuka 9 pagi
October 30, 2026, 8:40 pm
MOF tangguh kontrak baharu jalan luar bandar elak tunggakan bayaran, bukannya batal projek
October 30, 2026, 8:23 pm
Polis siasat insiden cermin tren KTMB pecah dalam perjalanan ke Alor Setar
October 30, 2026, 8:19 pm
Akaun Fleksibel bukan jawapan lengkap masalah pencarum KWSP terdesak - PGIRM
October 30, 2026, 8:11 pm
