Berita Berita
Masih ada rakyat Malaysia tak fasih bahasa Melayu walaupun negara sudah 69 tahun merdeka - Kok Seong
KUALA LUMPUR 2 November – Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berdepan cabaran apabila fungsinya sebagai bahasa kemajuan negara dilihat semakin kurang diberi keutamaan berbanding peranannya sebagai alat perpaduan rakyat.
Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, keadaan itu perlu diberikan perhatian serius kerana bahasa Melayu bukan sekadar medium komunikasi, sebaliknya lambang jati diri, kedaulatan dan penyatuan rakyat Malaysia.
Menurutnya, bahasa Melayu mempunyai dua fungsi utama sebagai bahasa negara, iaitu bahasa kebangsaan yang melambangkan identiti nasional dan semangat kebangsaan, serta bahasa rasmi yang menjadi instrumen pembangunan dalam pentadbiran, perundangan dan pendidikan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan wujud ketidakseimbangan apabila peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan sentiasa ditekankan, sedangkan kepentingannya dalam memacu kemajuan negara semakin dipinggirkan.
"Namun begitu, satu isu kritis yang menjadi tumpuan utama adalah ketidakseimbangan naratif semasa berhubung kedudukan bahasa kebangsaan.
"Berdasarkan analisis, peranan bahasa Melayu dari aspek faktor perpaduan sentiasa ditekankan dan dipertegas oleh pelbagai pihak sepanjang masa namun di sebaliknya, fungsi bahasa Melayu sebagai perantara kemajuan kini semakin dipinggirkan dan kurang diberi keutamaan.
" Tanggapan bahawa bahasa Melayu hanya relevan untuk perpaduan semata-mata, manakala fungsi kemajuan dipindahkan kepada bahasa asing, ini petanda berbahaya yang boleh membawa kepada hakisan nilai dan kepupusan bahasa tempatan dalam jangka masa panjang,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengupas tajuk "Peranan dualiti bahasa Melayu sebagai bahasa negara" pada Program Wacana Bahasa Warisan 2026 anjuran Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Kok Seong turut merujuk titah Yang di-Pertuan Agong ketika pembukaan penggal ketiga Dewan Rakyat pada Februari 2024 yang menyentuh tahap perpaduan nasional yang masih belum mencapai tahap diharapkan meskipun negara sudah merdeka lebih enam dekad.
Menurutnya, antara perkara yang membimbangkan ialah masih terdapat generasi muda yang tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan fasih, selain kurang memahami budaya dan cara hidup masyarakat daripada kaum lain.
"Oleh itu baginda memberi saranan supaya dasar perpaduan diperkukuh sejak peringkat awal kanak-kanak sekali gus menjadi satu keperluan mendesak seperti pepatah Melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya.
" Ada dua titah penting Tuanku ketika itu yang perlu diberi perhatian iaitu masih terdapat rakyat yang bergelar warganegara dalam kalangan generasi hari ini (generasi muda) tidak boleh bertutur bahasa Melayu dan tidak memahami budaya hidup kaum lain," katanya.
Dalam pada itu, Kok Seong berpandangan kepelbagaian aliran pendidikan rendah turut menyumbang kepada cabaran polarisasi kaum di negara ini.
Katanya, pengasingan murid sejak peringkat tadika dan sekolah vernakular mengehadkan peluang interaksi antara kanak-kanak daripada latar belakang berbeza.
Beliau berpendapat keadaan itu menyebabkan hubungan sosial antara kaum cenderung kekal pada tahap 'kenal Cina', iaitu sekadar mengenali antara satu sama lain secara luaran tanpa kefahaman dan kepercayaan yang mendalam.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya gagasan sistem sekolah satu aliran berasaskan sekolah gabungan dipertimbangkan bagi menghimpunkan murid pelbagai kaum dalam satu persekitaran pembelajaran menggunakan kurikulum kebangsaan.
" Oleh itu, gagasan sistem sekolah satu aliran berasaskan sekolah gabungan dicadangkan sebagai wahana ampuh untuk menghimpunkan anak-anak pelbagai latar belakang di bawah satu bumbung kurikulum kebangsaan.
"Dalam perbandingan sosiolinguistik serantau, kita lihat bagaimana keberhasilan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand dalam menjayakan integrasi dan asimilasi bahasa.
" Di Indonesia, bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa Indonesia melalui Sumpah Pemuda 1928 berjaya membentuk ikatan solidariti yang kukuh dalam kalangan ratusan suku kaum.
" Rakyatnya bukan sahaja fasih, malah menumpahkan rasa bangga, sayang dan taat setia kepada bahasa kebangsaan mereka," katanya
Kok Seong berkata, Malaysia memilih pendekatan integrasi yang lebih inklusif, namun beliau berpandangan usaha meningkatkan penguasaan bahasa Melayu secara integratif dalam kalangan masyarakat bukan Bumiputera masih memerlukan komitmen lebih tinggi.
Menurutnya, usaha memperkasakan bahasa kebangsaan tidak boleh bergantung kepada dasar semata-mata, sebaliknya menuntut perubahan sikap seluruh lapisan masyarakat.
Beliau menegaskan, penguasaan bahasa Melayu juga tidak seharusnya didorong hanya oleh keperluan untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi perlu lahir daripada kesedaran untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat Malaysia yang bersatu.
"Bahasa Melayu adalah warisan bersama yang perlu dipertahankan martabatnya di tanah air sendiri.
"Seperti peribahasa 'tepuk dada tanya selera', sebarang pilihan dan keputusan dasar yang dimeteraikan hari ini bakal menentukan sama ada bahasa Melayu terus murni berkibar sebagai lambang kemajuan atau sekadar 'melukut di tepi gantang' pada masa hadapan,"katanya.
Berita berkaitan
November 2, 2026, 1:31 pm
Pengasas BananaBro, Boat Noodle Tony Lim meninggal dunia
November 2, 2026, 12:05 pm
‘Laporkan terus jika syak pusat sembelihan langgar piawaian halal’ - Amirudin
November 2, 2026, 10:21 am
Polis siasat sekumpulan individu larikan penghuni pusat pemulihan dadah, arak di Klang
November 2, 2026, 10:04 am
Dana Inovasi Media 2.0 pemangkin daya saing industri, perkasakan keutuhan kewartawanan
November 2, 2026, 9:36 am
Najib belum jelaskan denda RM50 juta - Peguam Negara
November 1, 2026, 6:57 pm
Abdul Hadi titip doa buat Tun Siti Hasmah lepas ziarah Tun M
November 1, 2026, 6:42 pm
