Berita Berita
'Dah ada 2.6 juta pekerja asing' - Kerajaan tidak lulus lesen perniagaan baharu jika tambah kebergantungan pekerja 'luar'
KUALA LUMPUR 2 November – Kerajaan mengambil pendekatan lebih tegas dalam mengawal kebergantungan industri terhadap tenaga kerja asing apabila permohonan lesen perniagaan baharu yang menjalankan aktiviti sama atau seumpamanya dengan syarikat sedia ada tidak akan diluluskan sekiranya berpotensi meningkatkan pengambilan pekerja asing.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting bagi memastikan peluang pekerjaan dalam sektor industri dapat diisi oleh rakyat tempatan, khususnya lebih 400,000 graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurutnya, Malaysia ketika ini mempunyai kira-kira 2.6 juta pekerja asing dan jumlah tersebut masih belum menunjukkan penurunan seperti yang disasarkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Beliau berkata, keadaan itu antara lain berpunca daripada kebergantungan berterusan syarikat yang sudah beroperasi antara 10 hingga 20 tahun di negara ini terhadap tenaga kerja asing.
“Kalau kita dah mula menukar kuota 20 peratus kepada pekerja asing dan 80 peratus kepada pekerja tempatan, tetapi sekarang ini terbalik, 80 peratus industri memerlukan pekerja asing, manakala 20 peratus sahaja pekerja tempatan.
“Jadi, kita analisa perkara ini. Sekarang negara sudah mempunyai 2.6 juta pekerja asing,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat, hari ini.
Johari berkata, situasi itu perlu ditangani segera supaya graduan TVET yang mempunyai kemahiran bersesuaian dapat diberikan keutamaan untuk memenuhi keperluan industri tempatan.
Bagaimanapun, beliau mendedahkan masih terdapat syarikat yang menawarkan gaji kepada graduan TVET pada kadar sama seperti pekerja asing, sekali gus menjadikan pekerjaan berkenaan kurang menarik kepada rakyat tempatan.
Katanya, meskipun kerajaan sudah menetapkan kadar gaji minimum RM1,700, sesetengah majikan masih menawarkan jumlah berkenaan kepada pekerja yang memiliki kemahiran TVET tanpa mengambil kira kelayakan mereka.
Malah, terdapat graduan TVET yang ditempatkan di kawasan penempatan pekerja asing dan perlu menanggung kos sewa sendiri sekiranya memilih untuk tinggal di luar kawasan berkenaan.
“Jadi, banyak isu ini sebenarnya berlegar daripada dasar dan polisi kita yang terlalu fleksibel,” katanya.
Sehubungan itu, Johari berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memberi penerangan kepada pihak industri mengenai keperluan mengehadkan pengambilan pekerja asing.
Beliau menjelaskan, pengambilan tenaga kerja asing masih dibenarkan, namun perlu ditumpukan kepada pekerjaan dalam kategori berbahaya, sukar dan kotor atau dikenali sebagai 3D.
“Kalau nak pakai pekerja asing boleh, tetapi dengan syarat hanya untuk pekerjaan 3D. Yang lain ini kena bayar (gaji yang bersesuaian),” katanya.
Berita berkaitan
November 2, 2026, 1:31 pm
Pengasas BananaBro, Boat Noodle Tony Lim meninggal dunia
November 2, 2026, 12:05 pm
‘Laporkan terus jika syak pusat sembelihan langgar piawaian halal’ - Amirudin
November 2, 2026, 10:21 am
Polis siasat sekumpulan individu larikan penghuni pusat pemulihan dadah, arak di Klang
November 2, 2026, 10:04 am
Dana Inovasi Media 2.0 pemangkin daya saing industri, perkasakan keutuhan kewartawanan
November 2, 2026, 9:56 am
Masih ada rakyat Malaysia tak fasih bahasa Melayu walaupun negara sudah 69 tahun merdeka - Kok Seong
November 2, 2026, 9:36 am
Najib belum jelaskan denda RM50 juta - Peguam Negara
November 1, 2026, 6:57 pm
Abdul Hadi titip doa buat Tun Siti Hasmah lepas ziarah Tun M
November 1, 2026, 6:42 pm
