TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis siasat sekumpulan individu larikan penghuni pusat pemulihan dadah, arak di Klang

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 02 November – Polis sedang menyiasat kejadian sekumpulan lelaki dan wanita yang dipercayai membawa keluar beberapa penghuni sebuah pusat pemulihan dadah dan alkohol persendirian di Bukit Kuda, Klang, tanpa kebenaran pihak pengurusan.

Kejadian itu terbongkar selepas pemilik pusat pemulihan berkenaan membuat laporan polis pada 28 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan didatangi sekumpulan individu sebelum beberapa penghuni dibawa keluar tanpa mendapat kebenaran.

Menurutnya, jumlah sebenar penghuni yang dibawa keluar masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti perkara itu.

“Hasil siasatan mendapati pusat pemulihan itu adalah milik persendirian,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Ramsay berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta mengganggu siasatan pihak berkuasa.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu yang boleh menggugat ketenteraman awam dan mengganggu siasatan polis.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara melalui talian 03-3291 9614, balai polis berhampiran, atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Amirul Ashraf Abd Rahim (011-69730086),” katanya.

+ - reset