TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bukan sekadar belajar memasak, ChefMuda Mahsuri bantu 35 anak muda B40 ubah masa depan sejak 2023

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

SHAH ALAM 2 November – Seramai 35 anak muda daripada golongan berpendapatan rendah (B40) menerima peluang mengikuti latihan kulinari menerusi Program ChefMuda Mahsuri sejak inisiatif itu diperkenalkan pada Julai 2023.

Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang Sdn Bhd, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, program yang dilaksanakan dengan kerjasama Food Institute of Malaysia (FIM) itu terus berkembang dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan membina kerjaya dalam industri makanan dan minuman (F&B).

Menurutnya, program berkenaan bermula dengan hanya lima pelajar perintis pada 2023 sebelum jumlah pengambilan ditingkatkan kepada 10 orang pada 2024 dan dikekalkan pada tahun berikutnya.

Katanya, bagi sesi 2026, seramai 10 lagi pelajar terpilih menyertai program berkenaan, menjadikan keseluruhan penerima tajaan meningkat kepada 35 orang dalam tempoh tiga tahun tiga bulan.

"Kita bermula pada tahun 2023 dengan hanya lima orang pelajar perintis. Melihat kepada keperluan dan potensi besar anak-anak muda ini, pada tahun 2024 kita telah meningkatkan jumlah pengambilan kepada 10 orang pelajar.

"Komitmen murni ini diteruskan lagi pada tahun 2025 dengan 10 orang pelajar dan pada tahun ini, Alhamdulillah, seramai 10 orang pelajar lagi diraikan, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak 35 tajaan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Tajaan Biasiswa Program ChefMuda Mahsuri di Shah Alam, hari ini.

Mohd Jazri berkata, peserta terpilih akan mengikuti Program Sijil Hidangan Tradisional Malaysia selama tujuh bulan bersama FIM, merangkumi empat bulan latihan praktikal intensif di kampus institusi berkenaan dan tiga bulan latihan industri.

Menurutnya, pengambilan tahun ini turut membuka peluang kepada peserta menjalani latihan industri di Courtyard by Marriott Setia Alam, sekali gus memberikan pendedahan terhadap persekitaran kerja dalam sektor perhotelan antarabangsa.

"Apa yang membanggakan pada tahun ini, para pelajar kita berpeluang besar untuk melengkapkan latihan industri mereka di hotel bertaraf antarabangsa.

"Pencapaian ini membuktikan dua perkara kepada kita semua. Pertama, hidangan tradisional Malaysia kini menduduki tempat yang semakin penting dan mula mendapat pengiktirafan tinggi dalam sektor F&B hotel bertaraf antarabangsa.

"Kedua, FIM terbukti berupaya melahirkan bakat-bakat kulinari berkualiti tinggi yang menepati piawaian dan kehendak industri global," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Jazri berkata, kerjasama Mahsuri Dagang bersama FIM dan rakan strategik bukan sekadar bertujuan melahirkan tenaga kerja mahir, malah menjadi platform memperkenalkan keunikan makanan halal tradisional Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Katanya, inisiatif berkenaan juga diharap dapat membantu mengubah masa depan golongan muda melalui pendidikan dan latihan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan industri.

"Bagi pihak Mahsuri dan rakan-rakan strategik yang hadir pada hari ini, kita berkongsi satu impian dan matlamat yang sama, iaitu membawa makanan halal tradisi Malaysia ke persada dunia, di samping mengubah nasib anak-anak muda kita melalui wadah pendidikan kulinari," katanya.

Beliau turut menggesa peserta baharu supaya memanfaatkan peluang yang diberikan untuk meningkatkan kemahiran, membina disiplin serta meneroka potensi diri dalam bidang kulinari.

"Di hadapan saya adalah barisan masa depan kulinari negara. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas, tahniah dan selamat maju jaya kepada anda semua.

"Jadikan program dan peluang keemasan ini sebagai 'launchpad', sebuah landasan pelancar untuk anda membuka ruang, meneroka potensi diri dan melonjak jauh demi membina kejayaan yang cemerlang dalam industri kulinari global.

"Industri ini menanti bakat, disiplin dan usaha anda. Berusahalah bersungguh-sungguh, timba ilmu sebanyak mungkin dan buktikan kemampuan anda di luar sana," katanya.

Sementara itu, Mohd Jazri berkata, Mahsuri Dagang sebagai jenama tempatan yang terkenal dengan rangkaian sos serbaguna dan kicap halal turut menerima sambutan positif daripada pengguna serta pemain industri kulinari profesional.

Menurutnya, produk keluaran syarikat itu yang menawarkan kemudahan dalam penyediaan makanan dan membantu memendekkan masa memasak tanpa mengabaikan kepelbagaian rasa semakin mendapat tempat dalam industri F&B.

Beliau berkata, perkembangan tersebut seiring dengan aspirasi syarikat untuk terus memartabatkan warisan kulinari tempatan, selain menyokong pembangunan generasi baharu yang mampu bersaing di peringkat global. - Media Telus

+ - reset