TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Semua dah selesai, kerajaan akhirnya setuju pulangkan peruntukan RM730,300 kepada Syed Saddiq untuk Parlimen Muar

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 5 Nov – Pertikaian berhubung pemberhentian peruntukan kepada Parlimen Muar bakal diselesaikan secara baik selepas kerajaan dan Ahli Parlimennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencapai persetujuan secara prinsip untuk mengembalikan dana berjumlah RM730,300.

Mahkamah Persekutuan pada Khamis dimaklumkan bahawa persetujuan itu melibatkan pemulangan peruntukan kebajikan sebanyak RM500,000 bagi tahun 2023 serta RM230,300 untuk beberapa projek khusus di kawasan Parlimen Muar.

Peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Syed Saddiq bersama tiga pengundi kawasan berkenaan berkata, kedua-dua pihak mencapai persetujuan tersebut pada Rabu bagi menyelesaikan pertikaian yang sebelum ini dibawa ke mahkamah.

"Pemohon dan responden telah mencapai persetujuan pada semalam untuk menyelesaikan pertikaian ini.

"Antara perkara yang dipersetujui ialah kerajaan mengembalikan peruntukan RM500,000 bagi 2023 serta RM230,300 bagi projek khusus di bawah MyKHAS," katanya.

Menurut Lim, peruntukan RM230,300 itu melibatkan projek yang telah dikenal pasti termasuk pembangunan dan kemudahan di sekolah, surau serta kampung menerusi sistem MyKHAS.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua pihak masih meneliti mekanisme terbaik bagi memastikan terma penyelesaian dapat direkodkan secara rasmi di mahkamah.

Sehubungan itu, pihak pemohon memohon satu tarikh pengurusan kes bagi membolehkan mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan selepas semua butiran dimuktamadkan.

Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang mewakili kerajaan turut mengesahkan perkembangan berkenaan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Azizah Nawawi kemudian menetapkan 7 Disember depan bagi pengurusan kes untuk kedua-dua pihak memaklumkan perkembangan mekanisme penyaluran peruntukan tersebut.

Turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu, pada 23 April 2024, Syed Saddiq bersama tiga pengundi Parlimen Muar iaitu Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Mereka mencabar keputusan menghentikan penyaluran RM500,000 daripada keseluruhan peruntukan RM1.7 juta yang sepatutnya disalurkan terus ke akaun Pusat Khidmat Parlimen Muar.

Dana berkenaan diperuntukkan bagi melaksanakan program kesejahteraan masyarakat, kebajikan serta bantuan bencana kepada penduduk setempat.

Selain itu, pemohon turut menuntut supaya akses Syed Saddiq kepada sistem MyKHAS yang menguruskan dana pembangunan RM2 juta dikembalikan, selain mencabar pembatalan beberapa projek bernilai RM230,300.

Mereka juga memohon supaya keputusan kerajaan tidak meluluskan sebarang peruntukan kepada Syed Saddiq bagi pelaksanaan Projek Mesra Rakyat atau program seumpamanya sepanjang 2024 dibatalkan.

Permohonan tersebut antara lain dibuat atas alasan keputusan kerajaan didakwa melanggar hak kesamarataan Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen dan tiga pengundi terbabit seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 24 Disember 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka sebelum Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan berkenaan pada 27 Oktober 2025.

Bagaimanapun, pada 10 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan Syed Saddiq bersama tiga pengundi terbabit meneruskan rayuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka untuk memulakan semakan kehakiman.

Persetujuan terbaharu itu membuka laluan kepada penyelesaian pertikaian berkenaan tanpa perlu meneruskan perbicaraan rayuan sehingga keputusan muktamad, tertakluk kepada pemuktamadan terma penyelesaian oleh kedua-dua pihak.

+ - reset