Berita Berita
'Untung RM1 bilion, naik gaji pekerja RM20 pun bantah' - Anwar tegur syarikat perladangan 'berkira'
KUALA LUMPUR 7 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sikap segelintir syarikat perladangan besar yang memperoleh keuntungan sehingga RM1 bilion, namun masih membantah kenaikan gaji pekerja sebanyak RM20 sebulan.
Menurutnya, syarikat perladangan yang mencatatkan keuntungan tinggi sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja, selain meningkatkan pelaburan dalam teknologi mekanisasi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing.
“Sebuah syarikat memperoleh keuntungan RM1 bilion. Apabila gaji dinaikkan RM20 sebulan, mereka membantah. Sehinggalah kerajaan terpaksa mewajibkannya.
“Sebab itulah, saya katakan ekonomi juga mesti berteraskan nilai kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan wakil industri perladangan pada Forum Cendekiawan Malaysia MADANI ke-14 di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Anwar berkata, kerajaan bersedia mempertimbangkan kelulusan pengambilan pekerja asing khusus bagi kerja penuaian buah kelapa sawit, namun industri perlu menunjukkan komitmen untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing melalui penggunaan mekanisasi.
Menurutnya, permohonan berkenaan akan dipertimbangkan secara positif dan dibawa kepada perhatian menteri yang bertanggungjawab.
Beliau turut membangkitkan kegagalan sebahagian syarikat perladangan besar untuk melabur secukupnya dalam penggunaan teknologi dan mesin, walaupun memperoleh keuntungan yang tinggi.
Terdahulu, wakil industri perladangan memaklumkan bahawa kebanyakan pengusaha ladang masih belum menerima kuota pekerja asing bagi tahun ini.
Menurut wakil berkenaan, penggunaan mesin sudah dilaksanakan bagi kerja pembajaan dan merumput, namun teknologi mekanisasi untuk menuai buah kelapa sawit masih belum tersedia.
Keadaan itu menyebabkan kerja penuaian terus bergantung kepada tenaga buruh asing, dengan proses pengambilan pekerja memerlukan kira-kira tiga bulan sebelum disusuli tempoh latihan selama tiga bulan lagi.
Wakil industri itu turut menyuarakan kebimbangan bahawa pengeluaran sektor perladangan berisiko terjejas tahun depan sekiranya tenaga kerja tidak diperoleh lebih awal, khususnya dengan jangkaan fenomena El Nino dan jerebu.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan pekerja, termasuk warga asing, walaupun negara sedang berusaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata, Malaysia tidak boleh membenarkan pekerja dilayan dalam keadaan tidak berperikemanusiaan atau menyerupai amalan perhambaan yang berlaku seabad lalu.
“Saya tidak boleh menerima perkara itu,” katanya.
Anwar turut menyifatkan tindakan ejen pengambilan pekerja asing yang memegang pasport pekerja sebagai satu bentuk perhambaan moden yang perlu dihentikan.
Menurutnya, kerajaan kini sedang mengadakan rundingan secara berperingkat dengan negara sumber pekerja asing bagi mengurangkan kos pengambilan tenaga kerja dan membendung eksploitasi oleh pihak tertentu.
Sebelum ini, pada Februari 2023, Anwar turut menggesa supaya penggunaan ejen dalam proses pengambilan pekerja asing dihentikan berikutan kos tinggi yang dikenakan kepada pekerja.
Sebagai rekod, kerajaan pada November 2024 meluluskan kuota khas sekali sahaja membabitkan 24,570 pekerja asing kepada 143 syarikat perladangan bagi menangani kekurangan tenaga kerja dalam sektor berkenaan.
Forum itu turut disertai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SD Guthrie Bhd, Mohd Haris Mohd Arshad serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Dr Sarena Che Omar.
Berita berkaitan
November 7, 2026, 5:30 pm
Anwar arah Peguam Negara menghadap Agong, mohon ampun isu tahanan rumah Najib
November 7, 2026, 4:24 pm
'Macam dah nak pecah Kerajaan Perpaduan, kalau saya jadi PM, saya dah buang pemimpin BN' - Muhyiddin
November 7, 2026, 1:42 pm
Pertikai pengampunan bersyarat Najib menjurus ingkar perintah Agong – Istana Negara
November 7, 2026, 11:13 am
56 rakyat Malaysia dipenjara di Selatan Thailand, ada berdepan hukuman mati
November 6, 2026, 11:53 pm
'Sampai bila?' – Nooryana Najwa luah rasa sedih, kecewa penangguhan tahanan rumah Najib
November 6, 2026, 11:48 pm
‘Bebaskan Najib serta-merta!’ – Peguam bidas tindakan AGC sangsi perintah tahanan di rumah
November 6, 2026, 9:34 pm
Najib kembali ke Penjara Kajang malam ini
November 6, 2026, 6:46 pm
