Berita Berita
Najib jalani tahanan rumah petang ini, Mahkamah Tinggi keluar perintah baharu
KUALA LUMPUR 10 Nov - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, di sini, berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin hari ini mengeluarkan perintah pelepasan baharu yang menggantikan sepenuhnya perintah terdahulu bertarikh 6 November lalu.
Menerusi keputusan berkenaan, Najib diperintahkan menjalani baki hukuman penjara yang telah dikurangkan kepada enam tahun secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
"Yang pertama sekali, perintah pelepasan atas pembayaran denda, ‘which is an order of discharge on payment of fine’ bertarikh 6 November 2026, dengan ini dibatalkan dan digantikan sepenuhnya dengan perintah ini.
"Yang kedua, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028," kata Hakim Aslam.
Dalam prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala Najib diwakili peguam, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi menyemak semula perintah pelepasan terhadap Najib yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan permohonan itu bertujuan mendapatkan perintah baharu supaya pelaksanaan hukuman terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan menepati pengampunan bersyarat yang diperkenankan pada 18 September lalu.
"Permohonan itu bertujuan mendapatkan satu perintah pelepasan baharu, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu," katanya.
Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan melunaskan bayaran denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai memenuhi syarat pengampunan bersyarat berkenaan.
Bagaimanapun, beliau kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah.
AGC sebelum ini menjelaskan penangguhan itu dibuat bagi mendapatkan kepastian mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat, selain menangani isu kecacatan dalam perintah pelepasan terdahulu.
Sebagai rekod, Najib menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Pada 28 Julai 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 sebelum mengemukakan petisyen pengampunan pada 2 September tahun sama.
Berita berkaitan
November 10, 2026, 8:13 pm
'Jangan jadikan isu tahanan rumah Najib modal politik hingga rakyat hilang keyakinan' – Saifuddin
November 10, 2026, 7:44 pm
Tiada satu pun pertubuhan Rohingya diluluskan sebagai NGO di Malaysia – RoS
November 10, 2026, 6:34 pm
Najib lega akhirnya dibenar jalani tahanan rumah selepas lama menunggu
November 10, 2026, 6:10 pm
Anthony Loke letak jawatan Menteri Pengangkutan serta-merta susulan keputusan tahanan rumah Najib
November 10, 2026, 4:31 pm
Kunjung wanita dalam edah ketika cuti Deepavali, duda dicekup berkhalwat di bilik sewa
November 10, 2026, 4:21 pm
Ganti kereta mainan rosak: Kanak-kanak terima RM50 daripada PM Anwar beli mainan baharu
November 10, 2026, 4:16 pm
Merusuh guna senjata di kafe Sungai Besi: 7 lelaki termasuk remaja mengaku tidak bersalah
November 10, 2026, 4:10 pm
