TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Beliau seorang yang berprinsip, pasti terasa kehilangan' - Ahmad Zahid ucap selamat maju jaya kepada Anthony Loke

By
|
Kongsi
image

 

ALOR GAJAH 10 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui Kabinet Kerajaan Perpaduan pasti terasa kehilangan susulan keputusan Anthony Loke Siew Fook meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Ahmad Zahid menyifatkan Setiausaha Agung DAP itu sebagai seorang pemimpin berprinsip yang tetap berpegang teguh kepada pendiriannya, selain menghormati keputusan yang dibuat Ahli Parlimen Seremban berkenaan.

"Saya sudah membaca kenyataan daripada beliau mengenai peletakan jawatannya.

"Beliau seorang yang berprinsip dan berpegang kepada prinsip itu. Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau sepanjang berada sebagai anggota Jemaah Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kemakmuran Pekebun Kecil dan Hari Terbuka RISDA Negeri Melaka 2026 di Universiti Kolej Agrosains Malaysia (UCAM), Ayer Pa'abas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kehilangan Loke sebagai antara anggota kanan Kabinet pasti dirasai, khususnya kerana mereka sering duduk bersebelahan ketika menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri.

"Kebetulan beliau duduk di sebelah kanan saya setiap kali mesyuarat Kabinet dan sudah pasti akan terasa kehilangan (pada mesyuarat akan datang).

"Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau di luar Kabinet," katanya.

Terdahulu, Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Keputusan itu dibuat selaras dengan pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan pengampunan bersyarat terhadap Najib, namun tetap menghormati kuasa dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam urusan pengampunan.

Loke sebelum ini dilaporkan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 September lalu, tetapi diminta meneruskan tugas sementara menunggu penyelesaian urusan berkaitan tahanan rumah Najib.

Beliau turut memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan tugas di Kementerian Pengangkutan berjalan lancar, selain memastikan dasar dan projek kementerian diteruskan seperti dirancang.

+ - reset