TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Najib lega akhirnya dibenar jalani tahanan rumah selepas lama menunggu

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 10 Nov – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa lega selepas penantian panjangnya untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah akhirnya mendapat keputusan memihak kepadanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, keputusan mahkamah itu memberikan kelegaan besar kepada anak guamnya yang sudah sekian lama menunggu bentuk pelepasan berkenaan.

"Ini adalah satu kelegaan besar buat beliau kerana sudah lama menunggu perkara ini," katanya pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Bagaimanapun, Shafee menjelaskan bahawa tahanan rumah bukan bermaksud Najib dibebaskan sepenuhnya, sebaliknya beliau masih dianggap menjalani hukuman penjara dengan sekatan pergerakan yang ketat.

"Beliau tidak boleh meninggalkan rumah melainkan mendapat kebenaran khas atau atas sebab tertentu yang munasabah," katanya.

Menurutnya, pihak pembelaan masih belum menerima perincian lengkap berhubung semua syarat yang perlu dipatuhi Najib sepanjang menjalani tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Mahkamah turut membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah baharu bagi membolehkan pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.

Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan melunaskan denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi, namun kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pelaksanaan tahanan rumah itu sebelum ini ditangguhkan sementara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

AGC menjelaskan penelitian terhadap dokumen rasmi berkenaan perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang pertikaian, khususnya berkaitan ketepatan istilah undang-undang.

+ - reset