Berita Berita
'Jangan jadikan isu tahanan rumah Najib modal politik hingga rakyat hilang keyakinan' – Saifuddin
KUALA LUMPUR 10 Nov – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak sebagai polemik politik sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Beliau berkata, isu yang hangat diperkatakan sejak Jumaat lalu itu mempunyai implikasi politik dan persepsi awam yang besar, sekali gus menuntut semua pihak menanganinya secara matang serta bertanggungjawab.
Dalam kenyataan terbaharunya, Saifuddin menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.
Keputusan mahkamah berkenaan turut membatalkan Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda bertarikh 6 November 2026 dan menggantikannya dengan perintah baharu selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.
Menerusi perintah itu, Najib dikehendaki menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur sehingga 23 Ogos 2028.
Mengulas kelewatan pelaksanaan tahanan rumah sebelum ini, Saifuddin menjelaskan perkara itu berpunca daripada persoalan undang-undang berkaitan tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan perundangan perintah pelepasan terdahulu.
“Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini telah menjelaskan persoalan berkenaan.
“Sehubungan itu, Kementerian menghormati pendirian Jabatan Peguam Negara bahawa persoalan tersebut perlu diperjelaskan melalui proses kehakiman.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap tindakan kerajaan mempunyai asas perundangan yang jelas, teratur dan sah.
“Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya menegaskan bahawa tanggungjawab Kementerian dan Jabatan Penjara adalah memastikan setiap keputusan berkaitan pelaksanaan hukuman dan tahanan dilaksanakan berdasarkan undang-undang serta arahan mahkamah yang sah,” katanya.
Saifuddin yang juga Timbalan Presiden PKR menegaskan kerajaan akan terus mempertahankan kedudukan serta peranan institusi Raja-Raja Melayu dalam sistem Raja Berperlembagaan.
Pada masa sama, katanya, kerajaan kekal komited menjunjung keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.
Beliau berkata, semua prinsip berkenaan saling melengkapi dan menjadi asas penting dalam memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
Berita berkaitan
November 10, 2026, 7:44 pm
Tiada satu pun pertubuhan Rohingya diluluskan sebagai NGO di Malaysia – RoS
November 10, 2026, 6:34 pm
Najib lega akhirnya dibenar jalani tahanan rumah selepas lama menunggu
November 10, 2026, 6:10 pm
Anthony Loke letak jawatan Menteri Pengangkutan serta-merta susulan keputusan tahanan rumah Najib
November 10, 2026, 5:24 pm
Najib jalani tahanan rumah petang ini, Mahkamah Tinggi keluar perintah baharu
November 10, 2026, 4:31 pm
Kunjung wanita dalam edah ketika cuti Deepavali, duda dicekup berkhalwat di bilik sewa
November 10, 2026, 4:21 pm
Ganti kereta mainan rosak: Kanak-kanak terima RM50 daripada PM Anwar beli mainan baharu
November 10, 2026, 4:16 pm
Merusuh guna senjata di kafe Sungai Besi: 7 lelaki termasuk remaja mengaku tidak bersalah
November 10, 2026, 4:10 pm
