TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tanpa perubahan, kita akan ketinggalan' - Faiz Fadzil mahu LKIM terus relevan selepas 55 tahun

By
|
Kongsi
image

 

PUCHONG 10 Nov – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) perlu terus melakukan pembaharuan dan tidak sekadar berbangga dengan kejayaan lampau bagi memastikan agensi itu kekal relevan serta berdaya saing dalam pembangunan industri perikanan negara.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, usia 55 tahun penubuhan LKIM seharusnya menjadi titik penting untuk seluruh warga agensi berkenaan memperkukuh usaha menjaga kebajikan masyarakat, khususnya komuniti nelayan.

Menurutnya, perubahan secara berterusan amat penting bagi memastikan kestabilan dan kelestarian organisasi dapat dipertahankan untuk jangka masa panjang.

“Kita harus ada perubahan. Kedudukan kita selama 55 tahun ini harus sustain. Jika tidak, kita akan ketinggalan.

“Tanpa sustainability, kita akan jatuh.

“People always look at the present, not the past. Untuk kita terus kukuh dalam arena perjuangan di sektor pertanian ini, kita harus terus mencipta kejayaan hari ini dan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-55 LKIM di Puchong, hari ini.

Muhammad Faiz turut mengingatkan bahawa masa depan sesebuah organisasi tidak bergantung kepada perancangan semata-mata, sebaliknya ditentukan melalui tindakan yang dilaksanakan pada masa kini.

Sehubungan itu, beliau mahu seluruh warga LKIM mempunyai semangat untuk melakukan pembaharuan bagi menghadapi cabaran industri perikanan yang semakin berkembang.

“Untuk kita terus kukuh dalam arena perjuangan di sektor pertanian ini, kita harus terus mencipta kejayaan hari ini dan masa depan.

“Cakap tentang masa depan, it starts today. The future starts today, not tomorrow,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz menegaskan LKIM turut memikul tanggungjawab besar dalam memastikan bekalan makanan negara mencukupi, selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, usaha menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan perlu diperkukuh, terutama bagi membantu komuniti nelayan serta generasi muda meningkatkan taraf hidup.

“Rakyat perlukan peluang pekerjaan. Rakyat perlukan peluang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, LKIM juga perlu membangunkan ekosistem ekonomi yang lebih menyeluruh melalui pelaksanaan pelbagai program melibatkan anak-anak nelayan serta kerjasama strategik dengan pihak berkaitan.

Menurutnya, setiap inisiatif yang diperkenalkan bukan bertujuan memenuhi kepentingan individu, sebaliknya memastikan LKIM terus berfungsi sebagai institusi yang memberi manfaat kepada rakyat.

Pada masa sama, Muhammad Faiz mengingatkan kakitangan supaya mengutamakan semangat perpaduan, kerjasama dan saling menghormati dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Beliau menegaskan kejayaan organisasi hanya mampu dicapai sekiranya semua pihak bergerak sebagai satu pasukan dan tidak mengutamakan kepentingan peribadi.

“Kalau kita hanya fikir tentang diri kita, kita tak akan berjaya. Hanya dengan perpaduan kita akan berjaya,” tambah beliau.

+ - reset