TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kematian pesakit mental di Sungai Petani: Penghuni pusat jagaan direman, miliki 15 rekod lampau

By
|
Kongsi
image

SUNGAI PETANI, 11 Nov. – Seorang penghuni pusat penjagaan dan rawatan pesakit mental di Taman Kempas di sini direman selama enam hari bermula Rabu hingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di premis berkenaan pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan memaklumkan bahawa suspek berusia 51 tahun yang berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu disyaki mempunyai kaitan dengan kematian mangsa berusia 42 tahun yang juga penghuni pusat jagaan terbabit.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan pada jam 7.16 malam Isnin lepas selepas mangsa yang berasal dari Machang, Kelantan ditemukan tidak sedarkan diri di premis berkenaan sebelum petugas perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Hasil bedah siasat yang dijalankan kemudiannya mengesahkan punca kematian mangsa akibat kecederaan parah pada bahagian dada.

Semakan lanjut mendapati suspek yang ditahan mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kes jenayah serta enam rekod kesalahan dadah, manakala kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset